SEGAMAT: Anak kepada bekas Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail akan menyimpan azimat pesanan Allahyarhamah supaya menjaga solat, hormati orang alim dan kaum-kaum lain sebagai pegangan hidup.
Menurut anak Allahyarhamah, Sheikh Rajib Rarouk Sheikh Abd. Jalil, 36, ibunya selalu berpesan kepadanya serta ahli keluarga lain dan dia turut disenangi serta disayangi orang sekeliling.
“Pesanan Allahyarhamah yang selalu akan saya ingat adalah jaga solat, jaga hubungan silaturrahim dan selain menghormati ulama, alim dan kaum-kaum lain.
“Ibu seorang yang tegas, namun, peramah dan diberi pelbagai gelaran sepanjang aktif dalam politik seperti ‘Yang Berhormat (YB) Mesra Rakyat’.
“Dia juga seorang ibu yang ‘sporting’ sama ada dia di luar atau di rumah. Kami sekeluarga dan waris dengan rendah diri mohon maaf salah silap ibu saya kepada sesiapa. Dia punya hati yang amat baik,” katanya ketika ditemui di Tanah Wakaf Perkuburan Islam di Kampung Paya Dalam, Segamat, hari ini.
Tambah Sheikh Rajib, ibunya dilihat sebagai seorang yang berkepemimpinan tinggi dan tanpa mengira batas seteru politik.
Ibu kepada enam cahaya mata itu selamat dikebumikan pada pukul 11 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Dalam, Segamat.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir adalah Pegawai Kesihatan Segamat, Dr. Zaid Kassim, Setiausaha Politik kepada Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa, Napsiah Khamis, waris serta ahli keluarga dan kira-kira 300 penduduk setempat.
Bekas Ahli Parlimen Sekijang berusia 73 tersebut menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9.36 malam tadi di Hospital Segamat akibat barah hati tahap 4.
Jenazah dimandikan dan disembahyangkan di rumahnya di Tahang Rimau.
Natrah merupakan Ahli Majlis Pimpinan Wanita Keadilan Pusat menjadi Ahli Parlimen Sekijang, Johor dari tahun 2018 sehingga 2022.-UTUSAN