Isu tanah Batu Kawan, PDC buat pindaan semua surat tawaran jualan tanah - Utusan Malaysia

Isu tanah Batu Kawan, PDC buat pindaan semua surat tawaran jualan tanah

CHOW Kon Yeow pada sidang DUN Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) membuat pindaan serta-merta ke atas semua surat tawaran berkaitan dengan proses penjualan tanah dengan meletakkan klausa berkaitan perubahan saham syarikat sebelum menandatangani perjanjian dengan mana-mana syarikat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu diambil supaya isu membabitkan penjualan tanah PDC di Byram, Kawasan Perindustrian 2 Batu Kawan (BKIP2) kepada syarikat UMECH Construction Sdn. Bhd. (UMECH) tidak berulang.

“Isu perubahan saham oleh pihak UMECH yang berlaku sebelum menandatangani perjanjian adalah perkara yang didapati pertama kali berlaku tanpa sebarang makluman daripada pihak UMECH kepada PDC,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) menjawab soalan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) mengenai isu penjualan tanah di Byram, BKIP2 oleh PDC kepada UMECH.

Pelbagai pihak sebelum ini termasuk Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC) mempersoalkan mengenai penjualan tanah seluas 223.6 hektar di Byram, Kawasan Perindustrian 2 Batu Kawan (BKIP2), Batu Kawan, dekat sini tersebut.

Susulan itu, Lembaga PDC memutuskan untuk menamatkan perjanjian usaha sama dengan pihak UMECH Land dengan memberikan notis tiga bulan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi PDC berkata, tiada kelemahan atau kesilapan dalam proses dan prosedur penjualan tanah itu kepada UMECH.

“Prosedur penjualan tanah adalah selaras dengan amalan PDC selama ini iaitu sama ada secara tender terbuka, ‘Request For Proposal’ atau rundingan terus.

“Dalam hal UMECH Land, penjualan adalah secara rundingan terus hasil usaha promosi yang dijalankan oleh PDC di Ekspo Dubai 2020 yang telah berlangsung pada 16 sehingga 23 Januari 2022.

“Syarikat ini adalah satu-satunya syarikat yang menunjukkan minat yang bersungguh-sungguh untuk menjalankan perniagaan di Pulau Pinang,” katanya.

Tambahnya, sebelum penyertaan Ekspo Dubai 2020, hebahan dan promosi berkaitan projek-projek yang akan dibawa telah dilaksanakan.

”Projek-projek tersebut juga telah mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Lembaga PDC.

“Pemilihan UMECH Land juga melalui proses yang panjang dan telus berdasarkan punca kuasa yang telah ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya