KUALA LUMPUR: Syarikat swasta, Etika dan Atlas Vending (M) Sdn. Bhd. akan bekerjasama di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) untuk lebih kreatif dan inovatif bagi menawarkan harga minuman serendah RM1.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kedua-dua syarikat tersebut merupakan syarikat swasta yang pertama menyahut galakan kerajaan supaya menurunkan harga makanan dan minuman.
“Setakat ini, Atlas adalah satu-satunya syarikat swasta yang telah menghubungi kami,
“Air yang dijual dengan harga RM1 mungkin tiada kesan tetapi tujuan utama kita adalah untuk menggalakkan seberapa ramai pemain swasta untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif menjual produk mereka” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Penghilang Dahaga di Balai Ketibaan KL Sentral semalam.
IPR bertujuan membantu golongan miskin tegar, miskin dan B40 menjana pendapatan mampan dan melibatkan kerjasama antara kerajaan, rakyat dan rakan strategik selaras dengan pendekatan keseluruhan negara seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) serta prinsip Ihsan di bawah Kerangka Dasar Madani.
Rafizi menjelaskan, faktor kos makanan dan minuman yang semakin meningkat juga menyebabkan pemain industri makanan swasta mencari jalan untuk lebih kreatif supaya kekal bersaing.
Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan lebih banyak lagi syarikat swasta yang lain untuk bekerjasama menangani kelewatan yang dihadapi kementeriannya dalam menggunakan mesin layan diri di bawah IPR.
Pada 14 Jun lepas, Rafizi berkata, kementeriannya menjangkakan perolehan baki 4,900 mesin layan diri lagi yang disasarkan tahun ini di bawah IPR.
Menerusi program itu, usahawan yang terlibat boleh menjana pendapatan bersih purata RM3,000 hingga RM5,000 sebulan. – UTUSAN










