PETALING JAYA: Pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 dijangka menyebabkan kadar inflasi meningkat selepas Julai 2024.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelaksanaan subsidi bersasar itu akan memberi impak kepada kadar inflasi, tetapi tidak begitu ketara.
Katanya, hal ini kerana kadar inflasi negara sekarang amat rendah iaitu pada kadar 1.8 peratus.
“Walaupun inflasi dijangka naik akibat pelaksanaan subsidi bersasar, kenaikannya tidak akan menjadi begitu ketara sehingga membebankan rakyat kerana kadar sedia amat rendah. Oleh itu, sebarang kenaikan tidak akan menjadi terlalu tinggi kerana ia meningkat dari kadar yang amat rendah.
“Pelaksanaan subsidi bersasar untuk minyak RON95 akan menggunakan pendekatan dan mekanisme yang sedikit berbeza iaitu B40 akan tetap menerima subsidi seperti biasa dan sebahagian M40 juga akan terima dengan syarat mengambil kira kriteria tertentu seperti bilangan anak, tanggungan dan lokasi,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, minyak petrol RON95 dijangka lebih mahal kepada sebahagian rakyat selepas Julai tahun depan susulan pelaksanaan program subsidi bersasar.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pelaksanaan program itu sebagai langkah mengoptimumkan bahan api kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Ahmed Razman menambah, pemberian subsidi bersasar ini hanya akan menjejaskan golongan T20 sahaja kerana mereka tidak menerima subsidi.
Dalam pada itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid turut bersetuju bahawa pelaksanaan subsidi RON95 memberi kesan kenaikan inflasi.
“Sumbangan RON95 dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) adalah agak besar. Justeru, sebarang perubahan kepada harga minyak RON95 akan memberi kesan langsung terhadap tingkat harga umum.
“Namun, langkah seperti menyalurkan penjimatan subsidi kepada bayaran tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dijangka dapat mengurangkan kesan kepada para pengguna terutamanya kepada golongan B40 dan M40,” katanya.
Mohd. Afzanizam berkata, sebahagian daripada penjimatan subsidi minyak RON95 ini juga boleh disalurkan kepada perbelanjaan penggunaan seperti pembinaan infrastruktur seperti jalan raya, pendidikan dan kesihatan.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, persetujuan dan sokongan semua pihak adalah sangat mustahak untuk kebaikan ekonomi negara bagi jangka masa panjang.
“Jumlah subsidi bahan api tahun 2022 sebanyak RM51 bilion melebihi 60 peratus dari jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung kerajaan.
“Sekiranya ia dapat dijimatkan, wang itu dapat digunakan dengan lebih bijak seperti bantuan tunai langsung kepada warganegara Malaysia dan juga penyediaan infrastruktur yang lebih banyak dan berkualiti kepada rakyat seperti hospital, sistem pengangkutan awam, pendidikan yang berkualiti dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










