Gudang runtuh: Perkeso ambil tindakan terhadap majikan 

Gudang runtuh: Perkeso ambil tindakan terhadap majikan 

INDEKS harga seunit keratan keluli dan logam kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majikan kepada lima mangsa pekerja asing yang terbabit dalam runtuhan tapak pembinaan sebuah gudang di Batu Maung, dekat Bayan Lepas, Pulau Pinang berdepan tindakan perundangan selepas disyaki tidak mendaftar dan mencarum pekerjanya dengan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Perkara itu terbongkar selepas semakan Perkeso mendapati kelima-lima mangsa tersebut tidak mempunyai rekod dengan pihaknya sekali gus melanggar Seksyen 6, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, menegaskan bahawa Perkeso akan mengambil tindakan perundangan terhadap majikan yang bertanggungjawab menggaji pekerja asing di tapak projek pembinaan gudang logistik tersebut.

“Kegagalan mendaftarkan dan mencarum pekerja asing boleh didakwa mengikut Seksyen 94, Akta 4 yang membawa hukuman denda RM10,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang culas mendaftar dan membayar caruman pekerja asing, sekali gus menafikan hak perlindungan sosial mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sivakumar berkata, pekerja asing termasuk yang berkhidmat sebagai buruh di sektor pembinaan diwajibkan untuk mendaftar dan mencarum dengan Perkeso, berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Januari 2020.

Berdasarkan perangkaan setakat 31 Oktober lalu, Sivakumar berkata, lebih 1.88 juta pekerja asing dilindungi menerusi Skim Perlindungan Bencana Kerja mengikut Akta 4, dengan 4,566 insiden kemalangan membabitkan pekerja asing dilaporkan ke Perkeso.

“Bagaimanapun, jumlah liputan caruman bagi pekerja asing berbanding kemasukan tenaga buruh luar ke Malaysia menunjukkan masih ada segelintir majikan yang ingkar dalam mematuhi peruntukan Akta 4,” katanya.

Hasil semakan kementerian terhadap empat pekerja asing, masing-masing dua yang maut dan dua cedera parah dalam kejadian tersebut didapati mempunyai rekod pendaftaran dengan Perkeso namun tiada caruman sejak diambil bekerja antara 2020 hingga Julai 2023.

Bagaimanapun, seorang lagi pekerja asing yang maut tidak mempunyai rekod pendaftaran dan caruman.

Sehingga kini, Perkeso masih giat menjalankan semakan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia serta agensi berkaitan, mengenai empat lagi pekerja asing yang dilaporkan tertimbus di bawah serpihan runtuhan di lokasi kejadian.

Kelmarin, tiga buruh warganegara Bangladesh disahkan maut manakala dua lagi parah selepas dihempap tiang rasuk konkrit seberat 14 tan dalam runtuhan di tapak pembinaan gudang sebuah syarikat kurier.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.58 malam itu, dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN