Gaza masuki fasa krisis kebuluran kritikal

Gaza masuki fasa krisis kebuluran kritikal

Rakyat Gaza kini di ambang kebuluran ekoran peperangan yang berlaku dan bekalan makanan semakin berkurangan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gaza kini dilanda masalah kebuluran kritikal berikutan bekalan makanan yang terhad dan jika masalah ini berterusan dalam tiga minggu lagi, lebih ramai rakyat Palestin berdepan maut.

Masalah itu diakui sendiri oleh Program Makanan Sedunia (WFP) iaitu sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan menyatakan hanya 10 peratus sahaja bekalan makanan yang dapat masuk ke Gaza sejak perang dengan Israel bermula pada 7 Oktober lalu.

Malah, jurang jumlah bekalan makanan di Gaza dengan jumlah makanan diperlukan terlalu jauh berpunca daripada tindakan kejam rejim Zionis menyekat bekalan makanan dan minuman.
Warga Palestin, Mohamed Adan Shaat, 33, yang kini berada di negara ini berkata, sekiranya keadaan tersebut berterusan untuk beberapa minggu lagi, maka, Palestin akan berdepan dengan satu detik yang lebih sukar iaitu krisis kebuluran.

“Bantuan sekarang sukar untuk sampai ke Gaza, kalau ia kekal macam ini dalam tempoh dua ke tiga minggu mungkin akan menyebabkan orang tidak dapat makan langsung. Stok-stok makanan semakin berkurang.

“Orang Gaza kini berada dalam keadaan yang terlalu susah jika mahu dibandingkan dengan perang sebelum ini.

“Sekarang Israel sudah masuk dan menyerang sehingga ke dalam hospital, mereka halau pesakit yang ada dan sebagainya. Sampai orang ramai sudah tidak tahu mahu lari ke mana,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mohamed Adan merupakan suami kepada Nurul Ain Haron, 37, rakyat Malaysia yang terperangkap di Gaza apabila pulang ke rumah mentuanya di Gaza sebelum perang bermula namun berjaya keluar dan pulang ke negara ini pada 14 November lalu.

Konflik di antara Palestin dan Israel kini sudah berlarutan selama 41 hari sejak perang tersebut tercetus dengan angka korban sudah melenihi 11,000 orang.

Pengarah Eksekutif WFP, Cindy McCain sebelum ini berkata, bekalan makanan dan air yang diperoleh di Gaza boleh dikatakan tidak wujud kerana hanya sebahagian bekalan dapat dibawa masuk melalui sempadan.

“Dengan musim sejuk semakin hampir, tempat perlindungan yang tidak selamat dan sesak serta kekurangan air bersih, orang awam akan berdepan kemungkinan kebuluran serta-merta.

“Tiada cara lain untuk memenuhi keperluan kelaparan rakyat Palestin dengan satu lintasan sempadan sahaja yang beroperasi. Satu-satunya harapan ialah membuka satu lagi laluan selamat untuk akses kemanusiaan bagi membawa makanan untuk menyelamatkan nyawa di Gaza,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Adan memberitahu, ketika beliau di Gaza dan ingin menyalurkan bantuan kepada penduduk lain, terdapat gangguan daripada Israel yang mengancam keselamatan.

“Barang, stok makanan sukar untuk masuk dari sempadan Rafah sebab ia akan diperiksa oleh Israel. Bekalan yang ada di Gaza sudah semakin berkurangan.

“Tidak ada tempat yang selamat untuk hantar bantuan dan beri kepada orang lain, memang ada gangguan daripada Israel. Hari itu, kami mahu hantar bantuan dekat dengan sempadan pun orang di sana hubungi kami suruh patah balik, jangan datang kerana bahaya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×