KOTA BHARU: Seorang gadis ditemukan maut dalam sebuah kereta jenis MyVi dipercayai akibat keracunan gas monoksida di sebuah stesen minyak di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, hasil pemeriksaan di lokasi pihaknya menjumpai seorang lagi rakan mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 20-an turut berada di dalam kereta tersebut.
“Gadis berkenaan ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri. Bagaimanapun mangsa meninggal dunia.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur-unsur jenayah ke atas mangsa. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat,” Katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan karbon monoksida.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.
“Pihak polis mengingatkan agar tiada mana-mana individu membuat sebarang spekulasi dan menghormati keluarga mangsa,” ujarnya.-UTUSAN