Gabungan UMNO-Warisan-KDM kuasa memerintah Sabah

Gabungan UMNO-Warisan-KDM beri impak jajaran kuasa memerintah Sabah

UMNO KDM dan WARISAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Gabungan baharu yang dijangka dibentuk antara UMNO bersama Parti Warisan (Warisan) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dilihat akan mempengaruhi landskap politik Sabah.

Walaupun kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-PH Plus di Sabah nampak teguh namun, kemunculan gabungan baharu dalam politik sudah pasti memberi impak kepada penjajaran kuasa memerintah di negeri Sabah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Ag Ahmad berkata, kerjasama UMNO-Warisan-KDM itu akan memberi impak kepada kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, gabungan itu akan membantu dalam pengukuhan landskap politik parti nasional yang masih menjadi sandaran kerajaan Persekutuan untuk mengekalkan pengaruh parti bukan tempatan di Sabah.

“Strategi pengukuhan kedudukan serta pengaruh UMNO menerusi gabungan baharu ini juga boleh meletakkan gabungan ini di kedudukan stand by untuk mengambil alih kerajaan negeri secara teknikal sekiranya berlaku ketidaktentuan pola sokongan kepada parti-parti lokal,” katanya.

Beliau yang juga Penganalisis Kajian Elektoral Raya dan Geopolitik Borneo UMS itu berkata, sekiranya GRS bertindak menolak atau mempertikaikan sebarang dasar yang digubal dan dikuatkuasakan di peringkat Persekutuan, ia memberi ruang kepada gabungan baharu itu untuk mengukuhkan sokongannya kepada kerajaan perpaduan.

Menurut beliau, gabungan UMNO-Warisan-KDM boleh memanfaatkan peluang akibat daripada percanggahan pendapat antara kerajaan GRS dan kerajaan Persekutuan untuk memperlihatkan sokongan kepada kerajaan perpaduan.

“Situasi ini akan menjadi satu cara untuk gabungan UMNO menarik perhatian kerajaan pusat terhadap gabungan pembangkang Sabah yang dilihat sebagai mesra kerajaan persekutuan.

“Keadaan ini sekaligus membuka jalan kepada gabungan UMNO-Warisan-KDM untuk mendapatkan sokongan dalam mencaturkan peranan mereka sebagai parti gabungan yang pro-kerajaan pusat dalam PRN Sabah yang akan datang,” katanya.

Walau bagaimanapun, Syahruddin berkata, sehingga ke hari ini, kerajaan GRS tampak teguh serta optimis terhadap dasar-dasar kerajaan persekutuan dan kekal berada di sisi kerajaan persekutuan.

Jadi, beliau percaya kerajaan GRS-PH Plus sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan daripada strategi baharu oleh pembangkang itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan mana-mana parti pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut tentang penwujudan gabungan baharu yang dikatakan akan dibentuk membabitkan UMNO, Warisan dan KDM itu.

Pada masa ini, kedudukan kerajaan GRS-PH Plus begitu selesa kerana memiliki 46 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah manakala, UMNO-Warisan-KDM mempunyai 26 kerusi.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya