Empat beradik ditinggalkan tanpa jagaan selepas dihalau nenek - Utusan Malaysia

Empat beradik ditinggalkan tanpa jagaan selepas dihalau nenek

EMPAT beradik yang ditinggalkan tanpa jagaan di hadapan Kompleks Pentadbiran Perak Tengah di Kampung Gajah, semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Entah apa puncanya, seorang nenek tergamak menghalau empat cucu yang berusia 11 tahun hingga 10 bulan keluar dari rumah di Kampung Kuchai, Bota semalam.

Keempat-empat beradik itu ditinggalkan di hadapan Kompleks Pentadbiran Perak Tengah di Kampung Gajah oleh seorang wanita sekitar pukul 10.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, maklumat kejadian itu diterima pihaknya pada 5.39 petang semalam, menerusi laporan polis yang dibuat oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kampung Gajah.

Katanya, pengadu memberitahu, kehadiran empat beradik itu disedari pengawal keselamatan setelah mereka ditinggalkan seorang wanita yang memandu kereta jenis Toyota di hadapan pondok pengawal.

“Empat beradik itu terdiri daripada tiga lelaki masing-masing berusia 11 dan tiga tahun selain bayi berusia 10 bulan serta seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.

“Hasil pertanyaan terhadap kanak-kanak berusia 11 tahun itu, dia menyatakan bahawa mereka dihalau dari rumah oleh nenek sebelum dihantar ke kompleks berkenaan dengan menaiki kereta oleh wanita tidak dikenali,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pengadu kemudiannya menghantar empat beradik itu ke sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di Gopeng untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan ibu bapa atau waris kanak-kanak berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Mohd. Hanif Dzulkifli di talian 012-6477452,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin memberitahu, siasatan kes berkenaan sedang dijalankan pihak polis dengan kesemua kanak-kanak itu kini berada di hospital bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.

“Kes masih dalam siasatan polis dan JKM akan mengambil tindakan selaras dgn hasil siasatan tersebut,” ujar beliau.

Terdahulu, tular di media sosial gambar empat beradik tersebut dengan seorang kanak-kanak lelaki dilihat memangku seorang bayi. Mereka ditinggalkan di kawasan berkenaan bersama sebungkus plastik berisi lampin pakai buang dan susu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya