Empat anggota penguat kuasa antara 10 ditahan rasuah RM1.28

Empat anggota penguat kuasa antara 10 ditahan rasuah RM1.28 juta ubah butiran kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima anggota penguat kuasa antara sepuluh individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah antara RM500 sehingga RM1,000 daripada pemilik-pemilik kenderaan dan orang tengah sebagai balasan untuk meminda dan mengubah butiran spesifikasi enjin kenderaan perdagangan.

Kesemua bayaran itu diminta bagi menukar butiran  daripada kenderaan diesel biasa kepada kenderaan diesel hijau di dalam sistem tanpa melalui prosedur ditetapkan.

Penahanan kesemua suspek berusia antara 33 hingga 66 tahun itu dilakukan pukul 11 pagi hingga 3 petang tadi.

Satu sumber mendedahkan, kegiatan itu turut didalangi oleh empat ejen dan seorang pemilik syarikat yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita.

Sumber berkata, terdapat dua modus operandi (MO) dipercayai dilakukan oleh sindiket ini untuk mendapatkan status diesel hijau pada kenderaan mereka iaitu secara pindaan data kenderaan atau pembetulan butir-butir kenderaan.

“Sindiket ini dipercayai bergerak aktif sekitar tahun 2019 hingga 2022 dan nilai wang rasuah dianggarkan sebanyak kira-kira RM1.28 juta untuk lima orang anggota penguat kuasa yang terlibat terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita. 

“Manakala ketirisan hasil kepada kerajaan yang terkumpul akibat daripada aktiviti sindiket ini dianggarkan sekitar kira-kira RM12.73 juta sejak tahun 2018 sehingga 2022,” katanya.

Kata sumber lagi, pemilik kenderaan perdagangan yang mahukan pengurangan cukai jalan sebanyak 50 peratus tanpa mematuhi peraturan dan prosedur sah dipercayai akan menghubungi ejen untuk membuat pindaan ataupun pembetulan terhadap maklumat kenderaan mereka.

Katanya, ejen pula akan menghubungi anggota penguat kuasa dan akan memberikan nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat tanpa mengikut prosedur ditetapkan. 

“Susulan daripada maklumat diterima, SPRM menjalankan satu operasi khas hari ini dan menahan kesemua suspek di beberapa negeri iaitu  empat individu di Johor, Selangor (tiga individu) ; Perak (dua individu) dan Sabah (1) selain tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan susulan selepas ini,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.

“Kesemua suspek akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Ipoh, Putrajaya, Johor Bahru, dan Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah pada pukul 9 pagi esok,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya