KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM1.86 bilion untuk perbelanjaan mengurus dalam Belanjawan Terengganu 2024 berbanding RM1.99 bilion pada tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbelanjaan mengurus tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM84.77 juta bagi perbelanjaan tanggungan dan RM1.775 bilion bagi perbelanjaan bekalan.
Menurutnya, di bawah perbelanjaan pembangunan pula sebanyak RM425.19 juta diperuntukkan bagi sektor sosial, RM44.1 juta untuk sektor pentadbiran dan RM30.71 juta untuk sektor ekonomi.
“Belanjawan yang bertemakan ‘Menuju Era Baharu’ ini memberi fokus kepada tiga tunjang iaitu memperkukuhkan keberkesanan kerajaan, mempelbagaikan sumber kekayaan dan mensejahterakan kehidupan rakyat.
“Ini adalah untuk membina masa depan Terengganu yang lebih cerah dengan menggariskan tiga identiti yang mesti dimiliki oleh kerajaan, pemimpin, pegawai dan penjawat awam serta seluruh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Belanjawan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Samsuri memberitahu, kerajaan negeri menganggarkan hasil sejumlah RM1.860 bilion iaitu sebanyak RM80.06 juta daripada hasil cukai dan RM169.01 juta daripada hasil bukan cukai.
Selain itu, beliau berkata sebanyak RM1.61 bilion lagi adalah daripada terimaan bukan hasil termasuk Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum.
“Dalam situasi pertumbuhan global dan nasional diunjur sederhana pada tahun 2023 dan 2024, KDNK Terengganu harus kekal berkembang antara 3.5 hingga 4.1 peratus.
“Sub sektor perdagangan borong dan runcit mesti diperkukuh dengan pelbagai inisiatif untuk mengupayakan perniagaan dan pembangunan usahawan. Ini antara 10 sasaran dan strategi utama yang akan diusahakan untuk tahun 2024.
“Selain itu, rencana untuk menambah hasil cukai dan hasil bukan cukai sebanyak 10 peratus setahun mesti dilaksanakan dengan lebih agresif dan bersepadu manakala peruntukan yang disediakan mesti dioptimumkan sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN