KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) sedang membina rumah pam kitar semula dalam usaha menyelesaikan masalah jangka panjang berkait kelewatan bekalan air ke sawah padi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, projek dijangka siap pada tahun 2025 itu akan membolehkan air dipam dari sumber-sumber yang ada terutamanya sungai-sungai berdekatan.
“Sekarang ini pihak KADA sedang membina tujuh rumah pam kitar semula iaitu lima di Bachok dan masing-masing satu di Pasir Puteh dan Tumpat,” katanya bagi menjawab soalan tambahan dikemukakan Saizol Ismail (Pas – Salor) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu memberitahu, masalah kelewatan bekalan air sering berlaku apabila pihak KADA tidak dapat membekalkan air sepenuhnya terutama dalam musim kemarau.
Katanya, selain rumah rumah pam kitar semula, lain-lain langkah penyelesaian jangka panjang daripada KADA adalah membina Rumah Pam Kemubu 3 dan Empangan Rendah ‘Low Wier’.
“Bagi tindakan jangka pendek pihak KADA membekalkan 96 ‘backward pump’ dengan peruntukan sebanyam RM98,700 dan membina 91 buah telaga tiub menggunakan peruntukan sebanyak RM291,929.90 termasuk keperluan lain yang berkaitan.
“KADA turut menggerakkan aset pam mudah alihnya ke kawasan-kawasan bermasalah mendapatkan bekalan air terutama di penghujung sistem pengairan. KADA juga telah meminjam pam-pam mudah alih pelbagai kapasiti dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sekiranya terdapat keperluan tambahan,” ujarnya. -UTUSAN