KUCHING: Dua Rang undang-undang (RUU) Ombudsman Sarawak 2023 dan RUU Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) akan menjadi tumpuan pembentangan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, esok.
Yang Dipertua DUN Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar berkata, dua RUU itu dibentangkan dalam usaha Sarawak memainkan peranan meningkatkan integriti dalam setiap individu.
“Dengan adanya undang-undang ombudsman ini nanti, ia akan membawa kepada satu sistem keyakinan untuk pelabur di negeri ini yang bebas dari sebarang permasalahan.
“RUU Ombudsman Sarawak 2023 ini nanti akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan manakala RUU Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan, Datuk Sharifah Sayeed Aman Ghazali,” kata Mohd Asfia.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Mesyuarat Pre–Council sempena Persidangan DUN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Petra Jaya di Kuching semalam.
Sementara itu, jelas Mohd Asfia lagi, tiga daripada RUU yang lain ialah RUU Perbekalan (2024), RUU Pengedaran Gas (Pindaan) 2023 dan RUU Elektrik (Pindaan) 2023.
“Bagi pembentangan RUU Pengedaran Gas (Pindaan) 2023 dan RUU Elektrik (Pindaan) 2023, ia akan dibentangkan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi.
“Persidangan DUN juga menerima sebanyak 222 soalan lisan manakala 100 lagi soalan bertulis. Persidangan kali ini akan menyaksikan penampilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee yang baru mengangkat sumpah selepas memenangi pilihan raya kecil kawasan berkenaan baru-baru ini,” tambahnya.
Sebagai rekod, Mesyuarat Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan bersidang bermula Isnin ini hingga 29 November.
Persidangan itu nanti akan menyaksikan ADUN Jepak, Iskandar Turkee mengangkat sumpah selepas memenangi pilihan raya kecil kawasan berkenaan baru-baru ini. -UTUSAN