RAWANG: Dua penggodam yang ditahan Rabu lalu disyaki turut bertanggungjawab menggodam papan menu digital di satu lagi restoran makanan segera di sekitar Kuala Langat, baru-baru ini.
Kedua-dua lelaki tersebut ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang pengurus restoran makanan segera mendakwa papan menu digital di premis berkenaan memaparkan imej bom, peluru, darah dipercayai akibat digodam.
Mereka juga memuat naik ayat ‘Proud Sponsor of Israeli Terrorism’ pada papan menu digital di restoran terbabit.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua suspek yang menggunakan modus operandi sama itu dipercayai mempunyai kaitan antara satu sama lain.
“Setakat ini kita sudah buat dua tangkapan (kes godam) dan mereka direman sekama empat hari bermula kelmarin.
“Mereka terlibat dua kes berbeza tetapi modus operandi sama melibatkan dua premis berbeza dan kita percaya kedua-dua suspek ada hubung kait,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor 2023, di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, dua lelaki berusia 26 tahun ditahan secara berasingan di Petaling Jaya dan sekitar Kuala Lumpur selepas disyaki menggodam papan menu digital di sebuah restoran makanan segera di Hulu Langat 31 Oktober lalu.
Suspek berkenaan direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – UTUSAN