Dua graduan bangga terima Anugerah Pelajaran Diraja pada Konvokesyen Ke-51 UKM

Dua graduan bangga terima Anugerah Pelajaran Diraja pada Konvokesyen UKM Ke-51

Syarifah Afiqah Syed Shahrin (kanan) dan Brentha Murugan (dua dari kanan) menunjukkan pingat Anugerah Pelajaran Diraja yang diterima pada Konvokesyen Ke-51 Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) di Bangi, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI:  Dua graduan masing-masing daripada Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains dan Teknologi menerima Anugerah Pelajaran Diraja dalam Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-51 semalam.

Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menyampaikan anugerah tersebut yang merupakan pengiktirafan tinggi terhadap kecemerlangan pelajar.

Penerima pertama anugerah tersebut, graduan Ijazah Doktor Perubatan, Fakulti Perubatan Syarifah Afiqah Syed Shahrin, 24, berjaya mengekalkan kecemerlangan akademik sepanjang lima tahun pengajiannya di UKM.

Anak jati Kuala Lumpur itu sentiasa aktif dalam aktiviti khidmat masyarakat di dalam dan luar negara, seperti penglibatan dalam Khidmat Bakti Siswa di Kemboja pada tahun 2019.

Di dalam negara pula, beliau turut melibatkan diri dalam aktiviti khidmat masyarakat Orang Asli di Hulu Langat Selangor, Royal Belum Perak, Kuala Lipis dan Muadzam Shah, Pahang.

Selain itu, Syarifah Afiqah juga bergiat aktif dalam bidang sukan yang mana pencapaian beliau terbukti apabila dinobatkan sebagai pemain wanita terbaik sofbol dalam Kejohanan Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (SUKEM) 2019.

Beliau  juga telah memenangi pingat emas dalam permainan E-Sport tahun 2022 di peringkat fakulti.

Kini, beliau berkhidmat sebagai pembantu penyelidik di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM sementara menunggu penempatan sebagai Pegawai Perubatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sebahagian daripada graduan yang menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen Ke-51 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, semalam.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajaran Diraja yang kedua, graduan  Fakulti Sains dan Teknologi, Brentha Murugan, 24, telah memasang impian untuk mendapat anugerah tersebut sejak berada pada semester pertama pengajiannya lagi.

Sehubungan itu, sebagai anak sulung dalam keluarganya, beliau berusaha untuk  mengekalkan kecemerlangan akademik sepanjang pengajian di UKM dan  berjaya merangkul Anugerah Dekan pada setiap semester.

Impiannya menjadi kenyataan apabila beliau berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Sekitaran) dengan cemerlang dan memperolehi PNGK 3.94.

Atas kecemerlangan akademik di UKM, beliau terpilih menerima Biasiswa Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Biasiswa Kanan Universiti.

Bersesuaian dengan minat dan komitmennya kepada alam sekitar, Brentha dinobatkan sebagai penerima Tokoh Kelestarian tahun 2022 di peringkat universiti.

Beliau aktif dalam menyertai beberapa persidangan dan pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Di peringkat antarabangsa, Brentha mendapat Naib Juara dalam Pertandingan Inovasi Belia Antarabangsa (IYIC), anjuran Universitas Sebelas Maret, Indonesia.

Di peringkat kebangsaan pula, beliau telah merangkul Naib Johan Pertama di MY Green Technology Challenge, anjuran negeri Selangor dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dengan pencapaian akademik yang cemerlang, Brentha telah ditawarkan melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah melalui saluran laluan pantas di Fakulti Sains dan Teknologi dalam bidang yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya