Dipaksa bayar RM5,000 untuk pulang ke Malaysia

Dipaksa bayar RM5,000 untuk pulang ke Malaysia

HISHAMUDDIN Hashim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa rakyat Malaysia yang terkandas akibat ketegangan konflik politik di Myanmar perlu membayar RM5,000 sebagai kos penghantaran pulang mereka ke tanah air.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima keluhan keluarga mangsa yang mengatakan dibebani dengan bayaran tersebut sedangkan tidak berkemampuan kerana mempunyai latar belakang keluarga miskin dan tidak berkemampuan.

Katanya, perkara itu juga bermaksud tiada peruntukan kerajaan terhadap kos tersebut dan semua bayaran tanggungan di atas tanggungjawab mangsa dan keluarga.

“Jumlah ini amat membebankan keluarga. Mereka ini bukan pelancong dan pergi ke sana untuk berjalan, sebaliknya untuk bekerja dan akhirnya menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

“Malah mereka bekerja di sana tidak dibayar gaji, lebih mengejutkan ada sebahagian keluarga mangsa terpaksa membayar tebusan. Kebanyakan dalam kalangan mereka bukan golongan berada tetapi miskin dan pergi ke Myanmar untuk mencari kerja namun menjadi mangsa tipu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, usaha pemindahan keluar warga Malaysia yang terkandas akibat ketegangan konflik politik di Myanmar bertambah kepada 127 orang dan bukannya cuma 26 orang.

Beliau berkata, Wisma Putra mulanya mengenal pasti 26 orang sebagai mangsa jenayah penipuan pekerjaan di Laukkaing yang berdekatan sempadan China.

Oleh demikian, Hishamuddin berkata, pihaknya meminta pertimbangan kerajaan berhubung keperluan peruntukan khas untuk menampung kos membawa pulang semua mangsa rakyat Malaysia terlibat ke tanah air.

Katanya, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan boleh bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan daripada segi kemudahan penghantaran balik mangsa.

“Jangan bebankan keluarga dengan masalah ini. Mereka akan tertekan dan menghubungi MHO untuk mengeluh dengan bayaran kos tidak munasabah RM5,000.

“Jadi kerajaan dan Wisma Putra kena mencari jalan penyelesaian perkara ini,” katanya.

Myanmar dilanda krisis politik susulan tindakan junta melakukan rampasan kuasa pada 2021 lalu kerana mendakwa berlaku penipuan ketika pilihan raya umum setahun sebelum itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN