KUALA LUMPUR: Tiada lagi larangan merokok kepada individu yang lahir selepas 1 Januari 2007 dalam versi baharu Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
Ini susulan daripada tindakan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menarik balik RUU generasi penamat merokok (GEG) bagi bacaan kali kedua di Parlimen hari ini setelah ia dibentangkan buat kali pertama pada 12 Jun lalu.
Sebaliknya, beliau membentangkan versi baharu RUU itu untuk bacaan kali pertama hari ini dan bacaan kali kedua akan dilakukan esok.
Dalam versi baharu, Perkara 17 (1) merujuk kepada larangan merokok, mengunyah atau menggunakan produk tembakau atau merokok apa-apa produk pengganti tembakau dikenakan kepada bagi orang belum dewasa iaitu di bawah usia 18 tahun.
“Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan didenda tidak lebih RM500 atau diperintahkan melaksanakan khidmat masyarakat menurut Kanun Tatacara Jenayah atau Akta Kanak-Kanak 2001,” menurut RUU itu.
Namun, Perkara 13 iaitu larangan penjualan produk tembakau kepada orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya serta Perkara 14 iaitu larangan penjualan bahan merokok dan sebagainya kepada orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya tidak ada lagi dalam RUU tersebut.
Begitu juga dengan Perkara 18 iaitu larangan merokok produk tembakau bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya serta Perkara 19 iaitu larangan merokok produk pengganti tembakau dan sebagainya bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.
Ini bermakna, larangan terhadap individu yang lahir selepas 2007 telah digugurkan oleh Kementerian Kesihatan serta-merta.
Perubahan itu kepada RUU bermula apabila ia dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan untuk penelitian semula selepas wujud gesaan badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencadangkan supaya beberapa perkara di bawah RUU itu diteliti semula.
Pada 18 November lalu, Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh berkata, peruntukan di bawah RUU itu bercanggah dengan Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan memandangkan ia mewujudkan layanan undang-undang tidak sama rata antara seseorang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 dan individu yang dilahirkan pada dan selepas tarikh sama. -UTUSAN