KUALA LUMPUR: Kerajaan meneliti keperluan untuk menambah perjawatan yang sesuai di sempadan negara dengan pelaksanaan agensi tunggal sempadan negara (SBA) bagi mengawal selia 141 pintu masuk ke negara ini.
Timbalan Menteri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, penelitian itu mengambil kira pembukaan operasi ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan iaitu Nusantara.
Sehubungan itu, katanya, perbincangan sedang diadakan dengan beberapa pihak pemegang taruh termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Kementerian sedar bilangan pegawai perlu ditingkatkan dengan perkembangan itu dan Jabatan Imigresen menjalankan kajian keperluan pegawai supaya ia mencukupi bagi menjaga pintu masuk negara sesuai dengan keperluan semasa di masa depan,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Roy Angau anak Gingkoi [GPS-Lubok Antu] mengenai perancangan kementerian itu supaya menambah jumlah pegawai imigresen dan polis bagi meningkatkan tahap keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu yang menjadi antara pintu masuk sempadan Malaysia-Indonesia.
Shamsul Anuar berkata, pergerakan keluar masuk pelawat melalui pintu sempadan Kompleks ICQS Lubok Antu dicatatkan 5,500 orang sebulan dan jumlahnya dijangka bertambah apabila Nusantara mula beroperasi.
Katanya, dari 1 Januari hingga 15 November lalu, sebanyak 62,159 orang dicatatkan keluar masuk melalui pintu sempadan itu. -UTUSAN