DEWAN RAKYAT: Sistem pengambilan baharu TVET terima lebih 1,000 permohonan - Utusan Malaysia

DEWAN RAKYAT: Sistem pengambilan baharu TVET terima lebih 1,000 permohonan

tvet
SEKUMPULAN pelajar menyertai pertandingan TVET yang mencungkil bakat inovasi dalam kalangan belia negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sistem Unit Pengambilan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerima lebih 1,000 permohonan sejak ia mula dilaksanakan pada 31 Oktober lalu.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, ia merupakan ujian rintis bagi tujuan pengambilan pelajar bagi sesi Januari 2024 melibatkan empat institusi iaitu Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), GiatMARA dan German-Malaysian Institute (GMI).

Secara keseluruhan, katanya, penggunaan sistem ini bagi tujuan ujian rintis ini melibatkan tawaran sebanyak 645 kursus mencakupi pelbagai bidang di peringkat sijil hingga diploma melalui 268 buah institusi TVET yang terlibat.

“Sehingga 8 November 2023, seramai 2,398 pemohon telah mendaftarkan profil diri dalam sistem ini dan 1,047 pemohon telah melengkapkan permohonan bagi tujuan proses pertimbangan dan penawaran.

“Ujian rintis ini akan dibuka sehingga 30 November 2023 dan pihak kementerian giat menjalankan pelbagai program promosi melalui media sosial dan media elektronik bagi tujuan hebahan kepada pihak berkepentingan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai akan mengenai pelaksanaan Unit Pusat Universiti (UPU) TVET seperti dikaji oleh Kementerian Pendidikan.

Sebelum ini, permohonan kemasukan ke program TVET bagi ambilan perdana khusus untuk lepasan SPM dan setaraf disediakan melalui platform UPUOnline di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Tinggi.

Permohonan menggunakan UPUOnline ini dibuka hanya untuk satu sesi pengambilan sahaja dalam setahun dan diguna pakai oleh institusi TVET awam tertentu sahaja di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Justeru, Mesyuarat Majlis TVET Negara pada 27 Jun 2023 bersetuju dengan cadangan pembangunan sistem baharu iaitu Unit Pengambilan TVET yang akan digunakan untuk permohonan kemasukan ke program TVET.

Unit Pengambilan TVET ini sedang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Manusia sebagai salah satu skop di bawah Projek Menaiktaraf Sistem Pengurusan Integrasi Kemahiran Malaysia (MySPIKE) ke arah pembangunan data raya TVET yang telah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi.

Unit pengambilan ini akan digunakan oleh institusi-institusi TVET merentasi pelbagai kementerian untuk tujuan permohonan kemasukan ke program TVET jangka panjang dan jangka pendek yang dibuka sepanjang tahun.

Sistem ini juga akan mengambil kira kelayakan masuk yang pelbagai seperti lepasan Tingkatan Tiga, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya