KUALA LUMPUR: Pengguguran tafsiran dan peruntukan peranti merokok dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dilaksanakan kerana kekeliruan berkaitan pertindihan kawalan peranti oleh agensi-agensi lain.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, ini disebabkan peranti merokok kawalan yang dicadangkan oleh RUU sebelum pindaan ini melibatkan pengiklanan yang boleh menjurus kepada penggalakan, pembelian dan penggunaan produk merokok.
“Bagaimanapun, sebarang pengiklanan secara tidak langsung, sebagai contoh kalau ada peranti A menyatakan merokok merupakan satu keseronokan, ini tidak boleh.
“Perkara ini dikawal di bawah fasal 7 RUU ini dan kementerian akan terus memantau jika ada keperluan pada masa hadapan, mungkin untuk tujuan perubatan atau perkara ini mungkin dikaji semula untuk dimasukkan ke dalam peraturan lain,” katanya ketika sesi penggulungan RUU tersebut dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, khusus bagi peranti merokok, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menetapkan standard keselamatan bagi peranti merokok di bawah Perintah Perihal Dagangan iaitu perakuan dan penandaan peranti merokok elektronik 2022.
“Kemudian, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri akan mengawal aspek pengilangan peranti, ini contohnya,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, produk rokok elektronik jenis pakai buang ditafsirkan sebagai bahan merokok sebagai mana dinyatakan Fasal 2 (1) RUU tersebut.
“Tafsiran ini mengambil kira bahan merokok yang terkandung di dalamnya, oleh kerana itu pengiklanan produk ini termasuk pengiklanan dalam talian adalah dilarang di bawah Fasal 7 (f),” katanya. -UTUSAN