DEWAN RAKYAT: KPM jamin siasat kes buli 

DEWAN RAKYAT: KPM jamin siasat kes buli 

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiap aduan mengenai kes buli akan disiasat mengikut prosedur yang ditetapkan. 

Memberi jaminan akan perkara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sebagai langkah permulaan, kes tersebut perlu dilaporkan kepada pengetua atau guru besar terlebih dahulu untuk tindakan selanjutnya. 

“Peningkatan kes ini, kalau kita ambil dari segi pendekatan advokasi, akses, maknanya penyebaran tentang akses kita untuk murid dan ibu bapa waris, untuk mengadu, maknanya lebih terbuka. Inilah yang kita berikan jaminan bahawa setiap aduan mesti disiasat mengikut tempoh satu, tiga dan tujuh hari seperti yang saya sebut tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang Dewan Rakyat bagi menjawab soalan tambahan daripada Mohammed Taufiq Johari [PH-Sungai Petani] mengenai langkah intervensi susulan peningkatan kes buli di sekolah. 

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Fadhlina berkata, KPM mempunyai guru bimbingan dan kaunseling di sekolah-sekolah untuk menangani isu tersebut.

“Guru ini akan memberikan intervensi bersesuaian yang terkait rapat dengan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan murid terjaga secara berterusan.

“Ia adalah sebagai bentuk perlindungan sementara di sekolah bagi melindungi mangsa semasa siasatan dijalankan. Semua kes buli juga perlu dilaporkan kepada pengetua atau guru besar untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Fadlina turut berkata, tempoh penyelesaian kes buli adalah 90 peratus selesai dalam tempoh 15 hari selepas diadu melalui portal Aduan Buli.

Manakala bagi kes yang belum selesai pula, ia memerlukan siasatan lanjut melebihi 15 hari bergantung kepada kes yang dilaporkan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN