DEWAN RAKYAT: Kes denggi naik lebih 90 peratus berbanding

DEWAN RAKYAT: Kes denggi naik lebih 90 peratus berbanding tahun lalu

LUKANISMAN AWANG SAUNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 108,429 jumlah kumulatif kes demam denggi dicatatkan tahun ini berbanding 56,304 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, ia merupakan peningkatan sebanyak 52,125 kes bersamaan dengan 92.6 peratus.

Katanya, kumulatif kematian mencatatkan sebanyak 83 kes berbanding 37 kes bagi tempoh sama pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 46 kes iaitu peningkatan 124.3 peratus, namun, kadar kematian kes denggi ketika ini 0.08 peratus iaitu di bawah paras sasaran 0.2 peratus.

Namun, katanya, jumlah kes ini tujuh peratus lebih rendah berbanding jumlah kes sebelum pandemik Covid-19.

“Malaysia merupakan negara endemik demam denggi di mana kes denggi dilaporkan sepanjang tahun.

“Pada 2019, berlaku peningkatan kes demam denggi secara global termasuk di Malaysia dan dijangkakan peningkatan kes akan terus berlaku pada tahun ini kerana secara lazimnya, peningkatan kes akan dialami setiap empat hingga lima tahun,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Oleh itu, katanya, bagi mengawal kes demam denggi di Malaysia daripada terus meningkat, Kementerian Kesihatan melaksanakan pelbagai usaha secara berterusan.

“Antaranya menghasilkan Pelan Strategik Pencegahan dan Kawalan Denggi Kebangsaan 2022 – 2026 dengan menetapkan beberapa sasaran antaranya mengurangkan kadar kematian di bawah 0.2 peratus pada setiap tahun,” katanya.

Katanya, kementerian juga bekerjasama dengan pelbagai pihak melalui empat jawatan kuasa iaitu Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi Peringkat Kebangsaan, Jawatankuasa Tertinggi Menangani Denggi Peringkat Kebangsaan, Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi Peringkat Negeri dan Jawatankuasa Kawalan Wabak Denggi Peringkat Daerah.

Pada masa sama, katanya, kementerian juga berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat awam mengenai penyakit demam denggi di pelbagai platform secara berterusan.

“Masyarakat dikehendaki melaksanakan aktiviti cari dan musnah di premis masing-masing sekurang kurangnya 10 minit setiap seminggu.

“Kita mobilisasi agensi dan komuniti melalui pelaksanaan program gotong-royong berterusan di mana kemuncaknya adalah Gotong-Royong Mega Perangi Aedes yang diadakan sebanyak dua kali setahun di pelbagai peringkat,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan sedang membangunkan Sistem Pengurusan Wabak Denggi (SPWD) melalui Projek Kerjasama bersama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk membantu anggota kesihatan di lapangan dari aspek perancangan dan pelaksanaan aktiviti kawalan.

Katanya, pada tahun ini, aplikasi iDengue turut dilancarkan dan aplikasi ini adalah merupakan sistem jaringan dalam talian (web-based) untuk menyalurkan maklumat mengenai demam denggi secara tepat dan terkini kepada orang awam.

“Melalui aplikasi ini, maklumat kes demam denggi harian, lokasi wabak, hotspot, lokaliti pelaksanaan operasi nyamuk berWolbachia, maklumat asas seperti klinik, sekolah dan pelbagai maklumat terkini berkaitan demam denggi boleh diperoleh,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya