KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat menegaskan tidak akan melayan atau mengambil sebarang tindakan yang mempersoal kewibawaannya, jika ia dibuat di luar Dewan Rakyat.
Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau hanya akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang mempersoal kewibawaan dan keputusannya jika dibuat di dalam Dewan Rakyat.
“Saya berbeza dengan Tan Sri (Yang Dipertua) sebelum ini, apa juga diungkapkan dalam dewan ini yang mempersoal kewibawaan dan keputusan saya, saya akan mengambil tindakan, namun begitu, sesiapa sahaja boleh hina di luar.
“Boleh panggil saya tidak berkelayakan, tidak berpendidikan, ia tidak menjadi isu buat saya. Saya berkhidmat untuk dewan ini, di luar terpulanglah hendak kata saya bodoh atau tidak berkelayakan, ia bukan masalah saya,” katanya sebelum mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 99 Dewan Rakyat, berhubung kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mempertikai kredibiliti Johari.
Beliau juga mendakwa Johari melayan ahli Parlimen pembangkang secara tidak adil di dalam Dewan.
Bagaimanapun, Johari menegaskan tidak berpihak sama ada kepada ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang.
“Saya hanya menjalankan tanggungjawab dengan mengendalikan perjalanan Dewan Rakyat dengan sebaiknya,” katanya. – UTUSAN