DEWAN RAKYAT: Etika, garis panduan guna AI perlu diteliti dari

DEWAN RAKYAT: Etika, garis panduan guna AI perlu diteliti dari sudut Islam

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Etika dan garis panduan terhadap penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu diteliti dari sudut Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, maklumat terperinci mengenai semua aspek teknologi AI perlu difahami dan dikuasai dengan mengkaji kelebihan dan kekurangan teknologi berkenaan, peluang yang boleh diterokai serta ancaman sekiranya teknologi ini disalah gunakan.

Sehubungan itu, katanya, penerokaan teknologi AI ini penting untuk diimbangi antara golongan cendekiawan dan agamawan melalui pematuhan garis panduan, prosedur, pengawalan dan etika penggunaan teknologi ini menurut acuan dan perspektif Islam.

“Isu AI ini perlu diteliti dengan sewajarnya oleh semua pihak yang berkepentingan dalam negara.

“Isu tentang etika dan garis panduan penyelidikan dan penggunaan AI dari perspektif Islam agar selari dengan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah dan kebenaran agama Islam itu sendiri boleh dibangunkan dan dibawa kepada perbincangan dalam Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI),” katanya ketika waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Zulkifli Ismail [PN-Jasin] mengenai isu penggunaan AI daripada sudut pandang agama Islam dan sama ada ia akan dibawa ke jawatankuasa MKI.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berpandangan, pada peringkat awal perkembangan AI seperti contoh ChatGPT, pandangan terhadap teknologi perlu dinilai dari sudut neutral, tidak berat sebelah dan tidak meletakkan apa-apa sangkaan awal tanpa memahami kelebihan, kekurangan dan bagaimana cara kerja AI tersebut.

“Oleh itu, sebarang isu atau risiko yang berkaitan AI perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum melihat kepada pelbagai manfaat yang akan diperolehi. Permasalahan yang timbul pada teknologi ini perlu diperhalusi apabila berlaku pertembungan antara mudarat dan maslahah rentetan daripada kelebihan dan kekurangan yang dimiliki,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN