KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu paling layak memegang jawatan Menteri Kewangan bagi memastikan proses perolehan dan tatakelola benar-benar telus.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini bertujuan bagi mengelakkan kejadian-kejadian seperti yang berlaku dalam pentadbiran Kabinet terdahulu dengan menyebut terma ‘Jana Wibawa’ sebagai menyokong hujahannya.
Beliau juga membidas dakwaan ekonomi negara masih belum pulih sehingga tahap mengasingkan antara jawatan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri sebagai jalan penyelesaian bagi memulihkan ekonomi negara seperti dicadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin [PN-Pagoh].
“Sebahagian besar dari perancangan pelan ekonomi dan dasar sederhana dan jangka masa panjang ditentukan oleh Kementerian Ekonomi kemudian pelaksanaan diusahakan bersama dengan kementerian yang ada mandat dan tanggungjawab dan tatakelola kerana Menteri Kewangan memastikan proses perolehan itu benar-benar telus.
“Sebab itu tokoh paling baik untuk menjadi Menteri Kewangan ialah Perdana Menteri kerana siapa yang paling ada tanggungjawab paling besar untuk memastikan tatakelola perolehan untuk mengelakkan seperti yang berlaku sebelum ini.
“Seperti kita pernah tahu ada kawan kawan Jana Wibawa di sebelah sana (blok pembangkang di Dewan Rakyat),” katanya menjawab soalan tambahan Muhyiddin pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Muhyiddin dalam soalan tambahannya bertanya jika kerajaan bersetuju mengasingkan jawatan Menteri Kewangan dari Perdana Menteri dan melantik seseorang yang lain sebagai menteri sepenuh masa dalam Kementerian Kewangan.
Katanya, ini berdasarkan pemerhatian dalam kalangan rakyat dan pakar-pakar ekonomi menyatakan mereka masih belum yakin tentang proses pemulihan ekonomi negara walaupun sudah setahun Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, masalah ekonomi ditinggalkan Kabinet terdahulu adalah berstruktur termasuk penglibatan aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
Katanya, bidang kuasa Kementerian Kewangan pula hanya menguruskan dasar fiskal iaitu menguruskan aliran tunai, kutipan cukai dan perolehan perbelanjaan.
Jelasnya, pemulihan ekonomi tidak dikendalikan oleh kementerian tertentu secara tunggal kerana Kabinet mempunyai kementerian berbeza yang memainkan peranan masing-masing seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
“Di mana yang Pagoh kata ekonomi tidak pulih? Semasa Pagoh jadi kerajaan selama 33 bulan, pernahkah ada tiga suku berturut-turut yang ada pertumbuhan ekonomi? Tiada. Tidak pernah ada. Ini kali pertama sejak bertahun lamanya.
“Kadar kemiskinan paling rendah, kenaikan gaji lebih tinggi dari sebelum ini, pertumbuhan ekonomi, momentum baik, inflasi paling rendah jadi di manakah Pagoh kata rakyat tiada keyakinan sedangkan kita lihat sedikit demi sedikit keyakinan itu telah pulih termasuklah dengan kemasukan pelaburan.
“Kalau Pagoh tidak yakin tidak mengapa tapi jangan guna dan tunggang nama rakyat dan pelabur-pelabur lain,” katanya.
Jana Wibawa, atau Program Penjanaan Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera diperkenalkan pada November 2020 semasa pentadbiran Muhyiddin bagi mempercepatkan penyampaian projek kerajaan bagi membantu merangsang pemulihan ekonomi Malaysia selepas Covid-19.
Ia juga bagi membantu meningkatkan kapasiti kontraktor bumiputera dalam industri pembinaan supaya lebih berdaya saing.
Media sebelum ini melaporkan,Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bersatu didakwa menerima sumbangan lebih RM300 juta daripada kira-kira 10 kontraktor yang dianugerahkan pelbagai projek semasa parti itu menjadi kerajaan.
Ia membawa kepada pembekuan akaun bank Bersatu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pertengahan Januari lalu bagi membantu siasatan berhubung perkara itu.
SPRM sebelum ini mengenakan pertuduhan pertamanya berhubung Jana Wibawa melibatkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang didakwa meminta rasuah untuk membantu Napturi Sdn. Bhd. mendapatkan projek jalan raya bernilai RM232 juta melalui prakelayakan, dan menerima RM6.96 juta sebagai dorongan untuk membantu syarikat yang sama mendapatkan surat anugerah bagi projek itu.
Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad juga didakwa meminta rasuah antara 3.5 peratus dan 7 peratus daripada nilai projek, sebagai pertukaran untuk mendapatkan bantuan mendapatkan surat anugerah bagi projek di bawah program Jana Wibawa.
Adam Radlan juga didakwa menerima RM500,000 sebagai dorongan untuk membantu syarikat sama mendapatkan surat anugerah bagi projek jalan raya di Perlis bernilai RM47.8 juta.-UTUSAN









