KUALA LUMPUR: Pelakon, Ben Amir, menyangkal tuduhan segelintir pihak yang mendakwa dirinya semakin sombong dan kerap menolak permintaan peminat untuk bergambar.
Menurut Ben atau Muhammad Amir Sabaruddin, 32, dia jarang melakukan perbuatan itu melainkan dalam keadaan kecemasan atau sedang bergegas ke sesebuah acara atau penggambaran.
“Setahu saya tidak pernah pula saya lakukan begitu (tolak ajakan bergambar). Setiap orang mempunyai pandangan mereka masing-masing, tapi siapa yang kenal akan tahu saya bagaimana.
“Kalau ada sesiapa di sini yang ingin ambil gambar dengan saya, okay sahaja. Tapi kalau saya berada dalam situasi kecemasan atau saya sedang hendak cepat. Itu lain cerita.
“Itupun saya akan tolak dengan cara yang baik. Jadi tiada istilah sombong atau enggan bergambar,” katanya.
Ben ditemui Utusan Malaysia ketika majlis pelantikan sebagai duta baju Melayu, Eastana Exclusive, baru-baru ini.
Bercakap mengenai kelantangannya di platform X, pelakon Sweet Dreams itu mengakui lebih selesa meluahkan perasaannya di situ berbanding media sosial lain.
“Saya rasa semua orang mempunyai sisi kehidupan yang berbeza. Kalau di Instagram, saya lebih banyak muat naik kandungan mengenai kerja.
“Tapi di ‘X’ ia tempat saya meluahkan perasaan. Luahan itu saya tidak tujukan kepada sesiapa memandangkan saya suka cakap benda yang random.
“Kadang benda itu berlaku tahun lepas, barulah saya terfikir nak tulis. Cuma siapa terasa, tersalah,” jelasnya.
Menurut Ben, ramai juga yang bertanya adakah ciapan bernada sinis itu ditulis sendiri Ben atau individu lain yang mengendalikan media sosial pelakon itu.
“Ada juga yang tanya betul ke saya yang tulis. Ya, betul, memang saya.
“Saya tidak rasa akan hilang peminat. Sejak saya tulis begitu, makin ramai pengikut adalah,” katanya berseloroh.
Sebelum ini, terdapat segelintir individu yang mendakwa Ben Amir semakin sombong dan mengelak sekiranya diajak berbual dan bergambar di beberapa acara.