Buruh Indonesia dipenjara 10 bulan, denda RM10,000 miliki, guna kad MyPR palsu - Utusan Malaysia

Buruh Indonesia dipenjara 10 bulan, denda RM10,000 miliki, guna kad MyPR palsu

BURUH binaan warga Indonesia, Supardi, 49, ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memiliki dan menggunakan kad pengenalan pemastautin tetap (MyPR) palsu. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BALIK PULAU: Seorang buruh binaan warga Indonesia dipenjara 10 bulan dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dan menggunakan kad pengenalan pemastautin tetap (MyPR) palsu, Rabu lalu.

Suardi, 49, turut diperintah dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Difahamkan, Suardi menggunakan kad MyPR palsu itu sejak tahun 2000 dan memperoleh kad berkenaan daripada sindiket di Kuala Lumpur.

Dia yang tinggal di negara ini sejak 1996 dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Mengikut pertuduhan, Suardi didakwa dengan sengaja memiliki dan menggunakan kad pengenalan pemastautin tetap (MyPR) palsu nombor kad pengenalan 590422-71-5333 atas nama Mat Nasan Dimar sebagai kepunyaannya.

Suardi didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kilang di Bayan Lepas dekat sini, kira-kira pukul 8.30 pagi hingga 2 petang, 8 November lalu.

Oleh itu, dia melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mohd. Samsul Ariffin Ahmad Zawawi.

Ketika prosiding, Mohd. Samsul memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat kepada tertuduh kerana ia merupakan satu kesalahan serius yang boleh menggugat keselamatan awam dan negara.

“Tertuduh menggunakan kad MyPR palsu ini sejak tahun 2000 yang dibeli di Kuala Lumpur untuk mendapatkan kad perakuan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Pasport tertuduh tamat tempoh pada Oktober tahun depan. Bagaimanapun, tertuduh telah memperolehi pasport Indonesia yang akan tamat pada 2033 selepas dia menjalani program Rekalibrasi Tenaga Kerja Jabatan Imigresen,” katanya.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon mahkamah untuk meringankan hukuman kerana dia berpendapatan sekitar RM2,000 sebulan serta mempunyai tanggungan iaitu seorang isteri dan empat anak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya