Bersatu mahu pinda Perlembagaan parti

Bersatu mahu pinda Perlembagaan parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu meminda perlembagaan parti itu dalam Perhimpunan Agung Tahunannya (PAT) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, Selangor dari 23 hingga 25 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa PAT Bersatu 2023, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, perkara itu antara dua usul yang akan dibentangkan pada perhimpunan kali ini.

Selain pindaan perlembagaan Bersatu, katanya, usul lain adalah berkaitan dengan keadaan di Palestin.

“Pindaan perlembagaan adalah perkara berkaitan pentadbiran dan operasi Bersatu dalam mengukuhkan pentadbiran parti.

“Lebih kepada penambahbaikan yang perlu kita laksanakan selepas kita mendapat maklum balas dari akar umbi untuk kita luluskan di PAT,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Radzi, pindaan perlembagaan parti itu bagaimanapun  tidak ada  kaitan dengan perkara menyentuh atau mengekang antilompat parti.

“Pindaan perlembagaan Bersatu berkaitan dengan urusan pentadbiran parti dan tidak ada berkaitan isu berkaitan dengan lompat parti,” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, perkara yang ditekankan dalam tema PAT kali ini adalah berkaitan dengan tekad perjuangan Bersatu yang ingin ditekankan dalam kalangan ahli-ahlinya.

Menurutnya, tujuannya adalah untuk bersama-sama mengukuhkan parti yang masih baharu, tetapi mendapat kejayaan.

“Semangat kali ini adalah semangat berbeza, kita tahu bahawa kita melalui satu cabaran besar sebagai sebuah parti yang baru berusia tujuh tahun, tetapi mencapai satu kecemerlangan yang sangat baik.

“Kita mahu momentum ini kekal dan kepemimpinan parti di semua peringkat mengekalkan momentum, semangat dan kesatuan ini.

“Di hadapan kita, tentunya akan menghadapi pelbagai cabaran lagi, perjalanan kita masih jauh dan itulah yang kita ingin tekankan dalam PAT kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, selain usul dan ucapan dasar Presiden, pihaknya menyerahkan  kepada perwakilan untuk membahaskan isu keadaan semasa yang perlu diberi perhatian.

“Apa yang  kita tekankan adalah melihat perbahasan berkualiti dan memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

“Apa paling penting kita mahu sesuatu yang bermanfaat untuk parti sama-sama membawa agenda atau perkara yang disentuh oleh pembahas demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta negara,” katanya.

PAT Bersatu bermula pada Khamis ini dengan perasmian serentak Perhimpunan Agung Sayap Srikandi dan Armada serta Konvensyen  Sayap Srikandi Muda Penaja  dan Bersekutu Penaja oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pada jumaat, seramai 2,054 orang  dari seluruh negara akan bersama pada PAT utama bagi mengikuti agenda mesyuarat dan ucapan dasar Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Perbahasan oleh wakil-wakil setiap negeri dijangka berlangsung pada sebelah petang Jumaat dan diteruskan  pada Sabtu sebelum sesi penggulungan pimpinan tertinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya