KEMAMAN: Parlimen Kemaman akan menjadi ‘anak emas’ kerajaan Pusat sekiranya Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali kerusi itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu, 2 Disember ini.
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pihaknya yakin kerajaan Pusat akan memberi tumpuan kepada penduduk parlimen itu dan menyalurkan segala peruntukan untuk pembangunan penduduk Kemaman.
“Kita hanya mahu satu parlimen ini yang menang. Kita minta rakyat berilah peluang kepada BN untuk berkhidmat kepada rakyat
“Insya-Allah, kita akan buat sesuatu yang lebih baik untuk Kemaman kerana kita hanya ada satu parlimen (jika menang), jadi banyak peruntukan akan sampai,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas turut bersama menyertai kempen calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyantuni penjawat awam, di sini, hari ini.
Ahmad yang juga Pengarah Jentera BN PRK tersebut berkata, kemenangan BN juga akan mewakili 40 parlimen negeri Melayu di empat negeri pembangkang termasuk Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu.
“Kalau menang, kita akan mewakili 40 Parlimen negeri-negeri Melayu. Kita minta satu ini sahaja (menang parlimen Kemaman) supaya kita ada wakil suara orang Melayu dari BN supaya kita dapat perjuangkan hak dan sebagainya.
“Saya percaya Kemaman akan jadi anak emas kepada kerajaan selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Raja Mohamed Affandi berkata, memasuki hari kelima berkempen, beliau diterima baik pengundi di parlimen ini.
“Sepanjang lawatan dan ramah mesra saya, saya lihat BN dan aura Datuk Ahmad Said sendiri masih kuat. Insya-Allah saya yakin terhadap sokongan pengundi di parlimen ini dan kita akan capai kemenangan,” katanya.
PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Raja Mohamed Affandi dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr, Ahmad Samsuri Mokhtar. –UTUSAN