KEMAMAN: Pengundi di Parlimen Kemaman perlu memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu pada 2 Disember ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, kemenangan tersebut penting memastikan BN di Terengganu mempunyai sekurang-kurangnya seorang wakil di peringkat kerajaan Pusat.
Menurutnya, wakil kerajaan di peringkat Pusat
penting bagi memastikan negeri ini tidak ketinggalan dan ‘suara’ rakyat di negeri ini didengari kerajaan.
“PRK Parlimen Kemaman ini, ‘by hook or by crook’ perlu beri kemenangan kepada BN. Ini peluang untuk Terengganu ada wakil rakyat yang senada dengan kerajaan Pusat di Parlimen, kalau tidak kita akan kerugian dari pelbagai aspek,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
“Pengundi Kemaman perlu bijak memilih untuk kepentingan negeri. Cara berfikir rakyat kena ubah, inilah peluang yang ada bagi seorang pemimpin dari Terengganu untuk mewakili suara rakyat di negeri ini ke peringkat pusat,” katanya.
Wan Ahmad Nizam berkata, walaupun BN kalah kepada Pas di Parlimen ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan majoriti lebih 27,000, namun parti itu berpeluang menang sekiranya meletakkan calon yang diterima baik dan disenangi pengundi di parlimen tersebut.
“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memilih siapa calon yang boleh ‘menambat’ hati pengundi.
“Kalau calon yang diletakkan tepat, BN berpeluang merampas kembali kerusi yang disandang Pas selama dua penggal ini,” ujarnya.
Ditanya sama ada kemenangan BN di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Pahang, boleh menjadi kayu pengukur PRK Parlimen Kemaman, Wan Ahmad Nizam berkata, momentum pengundi di Terengganu adalah berbeza dengan pengundi di Pahang.
“Mood pengundi di Terengganu sukar diramal dan sering berubah-ubah. Kita tak boleh samakan pengundi kedua-dua negeri ini, namun mungkin juga mood kemenangan itu boleh dibawa ke sini (Kemaman),” katanya.
“PRK biasanya suasananya berbeza dan sukar diramal. Suasana kempen pun berbeza dengan bantuan daripada negeri-negeri lain dan sentuhan kepada pengundi itu lebih daripada pilihanraya biasa,” katanya.
Dalam PRU-15 lalu, Alias Che Hamid dari Pas menang majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru mengalahkan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506 undi).
PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Piliharaya Terengganu membatalkan kemenangan Alias pada 26 September lalu. – UTUSAN










