Batu Berendam bukan kawasan laluan angin

Batu Berendam bukan kawasan laluan angin

KEADAAN bumbung di blok C yang tercabut selepas dilanda angin kuat pada 28 Oktober 2023 di SMK Munshi Abdullah, Batu Berendam, Melaka. - SYAFEEQ/AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiada laluan angin di Batu Berendam seperti didakwa orang ramai dan kejadian ribut serta angin kencang boleh berlaku di mana-mana kawasan di Melaka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pejabat Meteorologi Melaka, Muhammad Hafiz Kasim berkata, awan ribut petir yang bergerak ke sesuatu kawasan akan membawa bersama hujan lebat dan angin kencang.

Katanya, tiupan angin pula akan mempengaruhi pergerakan awan.

“Awan (ribut petir) ini akan bergerak ke mana-mana sahaja. Jadi semua tempat boleh berpotensi berlaku hujan lebat dan angin kencang.

“Waktu ini hujan kerap turun pada sebelah petang dan kebetulan berlaku kejadian ribut dan angin kencang di Batu Berendam. Tanggapan orang ramai bahawa kawasan itu adalah laluan angin sebenarnya salah dan tidak betul.

“Bukan sahaja di Melaka malah di seluruh negara juga kita tidak boleh kata secara spesifik itu adalah kawasan laluan angin,” katanya ketika dihubungi.

Sabtu lalu, sebanyak 11 buah rumah termasuk sebuah bengkel motosikal mengalami kerosakan akibat dibadai angin kuat sewaktu hujan lebat yang berlaku di sekitar Batu Berendam.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, ia melibatkan sembilan buah rumah di Taman Sri Selendang, dua di Kampung Pulau Samak dan sebuah di Taman Mas Merah.

Sebelum itu, pada 28 Oktober lalu, hampir keseluruhan tujuh blok Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah mengalami kerosakan dibadai angin kuat yang dikatakan seperti puting beliung.

Paling teruk apabila kesemua bumbung di blok C yang menempatkan lapan kelas, satu bilik guru dan pejabat tercabut sehingga menampakkan rangka kayu siling. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN