Bank Rakyat hargai sumbangan PDRM terkorban di Tanduo

Bank Rakyat hargai sumbangan anggota PDRM terkorban di Tanduo

EWON Benedick (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada waris anggota PDRM yang terkorban dalam insiden pencerobohan Tanduo, disaksikan oleh Mohd. Irwan Mohd. Mubarak di Ranau, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANAU: Walau sedekad telah berlalu, Bank Rakyat mengambil inisiatif untuk memberi sumbangan kepada tiga waris anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu.

Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak berkata, sumbangan yang disalurkan menerusi Program Kasih Wira Negara itu sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan Bank Rakyat terhadap wira negara yang terkorban dalam pencerobohan pada 2013 itu.

“Walaupun sudah sedekad insiden ini berlaku, namun pengorbanan mereka tidak seharusnya kita lupakan. Semoga dengan sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban serta memberi sokongan dan keceriaan kepada waris,” katanya semasa perasmian Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change, di sini hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick semasa merasmikan pembukaan perkhidmatan perbankan Bank Rakyat itu berkata, perkhidmatan tersebut akan mampu memanfaatkan kira-kira 85,000 penduduk di daerah ini.

Beliau berkata, inisiatif memperluaskan rangkaian perbankan itu selari dengan komitmen berterusan kementerian dalam memenuhi mandat yang didukung untuk membantu membangunkan masyarakat di kawasan luar bandar menerusi penyediaan pelbagai penyelesaian kewangan dan perbankan.

“Pembukaan Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change di Ranau yang terkenal dengan aktiviti pelancongan ini juga amat sejajar dengan matlamat kerajaan untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan keusahawanan di negeri Sabah.

“Inisiatif ini juga amat bertepatan dengan konsep Malaysia Madani untuk menyediakan kebolehcapaian ekosistem kewangan yang lebih inklusif,” katanya.

Rakyat Xcess menawarkan rangkaian kemudahan perbankan yang boleh diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat seperti pembukaan akaun simpanan manakala, Ar-Rahnu X’Change pula menyediakan pembiayaan patuh Syariah bercagarkan emas iaitu Skim Pembiayaan Pajak Gadai-i yang mudah dan pantas.

Sementara itu, Mohd. Irwan berkata, Bank Rakyat sentiasa mengambil langkah proaktif dalam mengukuhkan rangkaian perniagaannya di setiap pelusuk negara tidak kira di bandar mahu pun di luar bandar.

Pada majlis sama, Bank Rakyat menyerahkan hadiah cabutan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus berjumlah RM100,000 kepada pemenang cabutan bulan Oktober sempena dengan ulang tahun Bank Rakyat yang ke-69.

Setakat ini, jumlah keseluruhan pelaburan adalah sebanyak RM139 juta melibatkan lebih 24 ribu pemegang akaun.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN