Banjir: Sebulan sekali penduduk berteduh di PPS

Banjir: Sebulan sekali penduduk berteduh di PPS

PENDUDUK meredah banjir untuk ke PPS selamat kediaman mereka dinaiki air di Mukim Titi Gajah, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Banjir yang kembali melanda Kampung Alor Senjaya dan beberapa lokasi lain di Mukim Titi Gajah, di sini bukan sahaja menyebabkan barangan rumah mangsa rosak.

Malah, bencana itu menyaksikan ada penduduk yang terpaksa berulang kali berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran kediaman mereka ditenggelami air.

Salah seorang daripada mereka ialah Megat Mohd. Yazis, 41, yang kini sudah tiga kali dalam tempoh tiga bulan terpaksa berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah.

Katanya, dia mengakui letih kerana baru sahaja menghadapi banjir pada September dan Oktober lalu setelah rumahnya dinaiki air sehingga ke paras pinggang.

“Setiap kali kalau air naik tu memang sudah bersedia awal-awal. Kadang-kadang tunggu Januari nanti baru bawa turun barangan yang diletak di tempat tinggi ke kedudukan asalnya.

“Kalau tak buat begitu memang kami akan mengalami kerugian yang lebih besar setiap kali menghadapi banjir,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Seramai 168 mangsa daripada 55 keluarga di dua daerah terjejas berada di tiga PPS yang dibuka sejak Isnin lalu antaranya di SK Malau, Kubang Pasu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah, di sini.

Antara kampung yang terjejas di Kota Setar adalah Kampung Alor Gunung, Kampung Pulau Kerengga, Kampung Seberang Chegar, Kampung Titi Gajah, Kampung Alor Senjaya dan Kampung Bohor.

Menurut Megat, hujan lebat lebih dua jam mengakibatkan air Sungai Anak Bukit naik mendadak pada waktu malam menyebabkan dia tiada pilihan selain menyelamatkan isteri dan anaknya.

“Sudah lebih 30 kali saya berdepan banjir dan memang penat setiap kali berpindah kemudian kena cuci rumah pula,” katanya.

Sementara itu, Satari Reso, 53, dari Kampung Bohor berkata, air sangat laju ketika memasuki ke dalam rumahnya sehingga menyebabkan dia segera berpindah ke PPS.

Satari yang baru menjalani pembedahan di kaki kiri bersyukur kerana diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) selepas tidak dapat meredah banjir.

Dia yang tinggal bersama isteri dan anak perempuan serta dua cucu bimbang air sungai akan terus melimpah dan paras air semakin meningkat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN