PETALING JAYA: Lebih tiga bulan tanpa jurulatih menyukarkan atlet baling tukul besi negara, Sadat Marzuqi Ajisan yang meneruskan latihan sendirian.
Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2023 itu yang sudah lima tahun berlatih di bawah kendalian Gu Yuan terpaksa akur dengan keputusan bekas jurulatihnya yang meletak jawatan Ogos lalu dan telah pun pulang ke negara asalnya, China.
Atlet muda berusia 22 tahun itu berkata, walaupun masih mengikuti program latihan yang disediakan Gu Yuan, namun dia berdepan kesukaran kerana tiada pembimbing untuk menilai dan memberi nasihat terhadap teknik-teknik yang dilakukannya semasa berlatih.
Sungguhpun demikian, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang melakar catatan 59.76 meter (m) dalam Sukan SEA Kemboja, Mei lalu, berjaya mencipta rekod peribadi baharu, dengan balingan 61.90m pada Kejohanan Varsiti Padang dan Trek 2023 di Kuantan sebelum ini.
“Sejak jurulatih saya pulang ke China, saya rasa susah untuk lihat teknik sendiri, apa kesalahan yang dilakukan, atau bahasa mudahnya tiada orang yang membimbing.
“Contohnya dalam Kejohanan Varsiti Grand Final, dalam beberapa cubaan balingan, ada tiga kali saya tiba-tiba hilang fokus dan tidak membuat catatan yang bagus.
Walaupun menang, tetapi saya tidak puas hati dengan pencapaian itu.
“Buat masa ini, saya masih ikut program yang disediakannya, tetapi saya ini jenis individu yang memerlukan orang lain untuk ‘menolak’ saya. Kalau tiada yang memaksa, mengkritik atau beri arahan, semangat jadi rapuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Sadat akui sangat memerlukan pembimbing seboleh-bolehnya sebelum musim baharu bermula.
Katanya, usaha memecahkan rekod telah menjadi ketagihan sejak bergelar atlet kebangsaan kerana cara itu memotivasikannya untuk memperbaharui kedudukan semasa
“Untuk dapatkan jurulatih baharu, saya tak tahu lagi perancangan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) atau MSN (Majlis Sukan Negara) tetapi saya ada dengar mungkin daripada Amerika Syarikat, ada juga kemungkinan jurulatih tempatan.
“Saya okay saja siapa pun yang jadi jurulatih, saya akan patuh arahannya. Cuma disebabkan saya ada Sukan Universiti Asia tahun depan, jadi saya sangat perlukan jurulatih.” – UTUSAN










