Anwar kata Pas 'bina mahligai atas pusara' kerana papar neratif buruk mengenainya

Anwar kata Pas ‘bina mahligai atas pusara’ kerana papar naratif buruk mengenainya

ANWAR Ibrahim pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini. - GAMBAR JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak terutama Pas, melalui lidah rasminya, akhbar Harakah, kerana mengaitkannya dengan Israel.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti itu dilihat ‘membina mahligai atas pusara’ dengan memaparkan naratif buruk terhadapnya, sedangkan kerajaan bertungkus lumus membantu rakyat di Palestin susulan kekejaman dilakukan oleh zionis Israel.

Katanya, ini selepas akhbar itu yang menyunting gambar Anwar berlatarbelakangkan bendera Israel yang disifatkan biadab dan melanggar tata susila.

Beliau sebelum itu memberi penerangan atas soalan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkenaan pendirian Malaysia berhubung sekatan secara unilateral Amerika Syarikat (AS) yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas dan kemudiannya menyelitkan amaran terhadap Pas.

“Tengok ya, supaya jangan Ketua Dewan Ulama (Pas) gunakan Harakah kaitkan saya dengan Israel.

“Itu satu kenyataan yang biadab, yang melanggar tata susila. Fitnah yang guna serban, tidak sah dan saya bantah keras-kerasnya dan kalau diulang saya akan ambil tindakan keras terhadap sesiapa yang menggunakannya.

“Ini yang saya sebut membina mahligai atas pusara orang mati, kita kerja setiap hari, bawa kes ini, minta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adakan sidang, bawa China, Russia, Brazil, Ireland, Bolivia, bincang dengan Jepun, dengan duta Netherlands (Belanda),” katanya. pada waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) kemudian mencelah jika perkataan biadab dibenarkan diguna dalam mesyuarat Dewan Rakyat. 

Anwar: Boleh! Kalau baca kenyataan, saya minta Beluran baca Harakah, gambar saya dengan bendera Israel belakang. Mana boleh Dewan Ulama macam itu.

Rosol: Perkataan biadap tidak boleh guna.

Dalam pada itu, Anwar menyeru mahu semua pihak termasuk pembangkang bergerak ke hadapan dan bersama membawa idea serta tindakan dalam isu Palestin bagi mengurangkan beban ditanggung rakyat negara itu.

Katanya, pihaknya tidak pernah menyinggung Pas berikutan mengetahui pendirian parti itu yang sangat konsisten sejak dahulu dalam menyokong rakyat Palestin. 

Terdahulu Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) bangkit mencelah untuk semua bersama dalam isu Palestin dengan kedua-dua pihak menghapuskan sebarang tularan tidak perlu, sebaliknya menumpukan usaha membantu mereka dalam apa cara sekalipun.

“Saya setuju dalam hal ini, saya tidak pernah menyinggung Pas kerana saya tahu pendirian PAS, sangat konsisten dalam Palestin, tidak mahu berbalah dalam soal ini kerana derita ditanggung mereka (Palestin) tidak pernah berlaku separah ini dalam sejarah.

“Mari kita bersama membawa idea dan tindakan supaya dapat meleraikan atau mengurangkan beban mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya