KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mendesak pelaksanaan gencatan senjata serta-merta dan menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, Palestin.
Perdana Menteri berkata, umat Islam di seluruh dunia mengharapkan hasil ketara serta tindakan konkrit daripada sidang kemuncak yang berlangsung selama sehari itu.
“Saya menggesa semua anggota OIC agar menggunakan saluran dan rangkaian diplomatik masing-masing secara strategik dalam setiap dialog di semua peringkat sama ada dua hala atau pelbagai hala, serantau mahupun antarabangsa.
“Marilah kita secara konsisten dan tegas mendesak perkara itu dalam satu kempen diplomatik yang bersepadu untuk memulakan pelaksanaan gencatan senjata dan menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,” katanya seperti dipetik laporan Bernama pada sesi kelapan Sidang Kemuncak Tergempar OIC bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin, di Riyadh, semalam.
Sidang kemuncak tergempar itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Abdulaziz dan dihoskan oleh Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman.
Beliau tiba di Riyadh petang semalam juga berharap agar semua aktiviti petempatan dan keganasan oleh peneroka terbabit terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dihentikan serta-merta.
Anwar turut menggesa agar semua pihak yang mencabuli undang-undang antarabangsa termasuk melakukan jenayah perang disiasat dan diheret ke mahkamah menerusi institusi antarabangsa.
Katanya, Malaysia menyokong Inisiatif Keamanan Arab dan rundingan bersama pengantara terkemuka bagi menjayakan penyelesaian dua negara dengan pengiktirafan kepada negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 serta Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Selain itu, beliau juga menggesa supaya menghentikan serta-merta akan penyingkiran paksa orang awam di Palestin.
Anwar turut menggesa negara anggota OIC memerangi habis-habisan peningkatan global dalam Islamofobia dan pada masa yang sama, melindungi hak untuk menyatakan sokongan kepada perjuangan Palestin secara aman.
“Selama lebih sebulan, penduduk Gaza yang terkepung telah menjadi mangsa kekejaman tidak berperikemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Israel yang menyasarkan lelaki, wanita dan kanak-kanak secara sembarangan.
“Gaza telah menjadi kubur untuk mereka yang tidak bersalah dan golongan syahid, kebanyakannya kanak-kanak Palestin. Tiada kediaman, hospital ataupun rumah ibadat sama ada Islam atau Kristian, selamat daripada serangan yang dilakukan secara sembarangan oleh Israel,” katanya.
Katanya, kesinambungan politik yang merampas hak rakyat Palestin bukanlah dilakukan secara senyap-senyap sebaliknya ia dapat disaksikan oleh seluruh dunia dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.
“Kelas politik negara-negara barat ketika ini mempamerkan sikap rabun jauh terpilih dalam krisis di Palestin,” katanya.
Anwar berkata perubahan besar mengenai perkara itu telah berlaku sebagaimana ditunjukkan dalam demonstrasi besar-besaran di seluruh dunia yang belum pernah terjadi sebelum ini termasuk di negara barat, untuk menyokong Palestin.
“Ironinya, di kesemua ibu kota ini yang kononnya memperjuangkan kebebasan bersuara dan meletakkan hak asasi manusia sebagai sesuatu yang suci, sesetengah pihak berkuasa telah mengecam pihak yang menyokong perjuangan Palestin serta menyifatkan mereka sebagai penyebar ucapan berbaur kebencian dan penyokong keganasan.
“Ini adalah dwistandard songsang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar berlepas dari Riyadh ke Jeddah bagi menunaikah umrah bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di tanah suci Makkah.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri berlepas dari Lapangan Terbang Antabarabangsa Raja Khalid pada 2 pagi waktu tempatan (7 pagi waktu Malaysia) menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
Petang ini, Anwar dijangka berlepas dari Jeddah ke San Francisco, Amerika Syarikat untuk menyertai Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023. – UTUSAN