Anwar dakwa Muhyiddin tak ambil langkah sewajarnya hapus

Anwar dakwa Muhyiddin tak ambil langkah sewajarnya hapus hutang Felda

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa tidak mengambil langkah sewajarnya untuk melupuskan  hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bernilai RM8.3 bilion.

Sebaliknya, Perdana Menteri ketika ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Kerajaan Perpaduan pimpinannya yang melaksanakan pelupusan hutang itu melalui Perjanjian-Perjanjian Dana yang membolehkan peruntukan tahunan RM990 juta disalurkan dan diterima FELDA selama 10 tahun.

Anwar berkata demikian dalam balasannya terhadap jawapan balas Muhyiddin berkaitan saman fitnah yang difailkan Presiden Bersatu itu pada 27 Julai lalu.

Kes saman fitnah itu ditetapkan untuk perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Leong Wai Hong bermula 2 Disember 2024.

Anwar dalam balasannya terhadap jawapan balas itu juga menyatakan, dana yang disalurkan melalui perjanjian tersebut membolehkan Felda memenuhi obligasi kewangan mereka untuk manfaat peneroka serta pada dasarnya membiayai atau menyempurnakan Hapus Kira Hutang RM8.3 bilion.

Tambahnya, berdasarkan Perjanjian Dana tersebut, geran tahunan pertama sebanyak RM990 juta sudah disalurkan kepada Felda.

Sementara itu, Muhyiddin dalam jawapannya terhadap pembelaan Anwar (defendan) berkata, Ahli Parlimen Tambun itu sengaja memanipulasi isu Sukuk Felda sebanyak RM9.9 bilion dan geran Kerajaan sebanyak RM990 juta setahun selama 10 tahun dengan mengelirukannya sebagai Pelupusan Hutang Peneroka Felda yang sudah dilaksanakan olehnya (Muhyiddin) pada tahun 2021.

Muhyiddin selaku plaintif, berkata hutang Felda berpunca daripada pinjaman kewangan institusi terbabit dengan pihak luar manakala hutang peneroka berpunca daripada pinjaman kewangan oleh peneroka Felda daripada Felda.

Beliau berkata, oleh itu adalah jelas bahawa hutang Felda dan Hutang Peneroka Felda adalah dua perkara yang berbeza.

Menurut pernyataan tuntutannya, Muhyiddin selaku plaintif mendakwa Anwar mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada sambutan ‘Hari Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan 2023’ di Serdang, Selangor pada 7 Julai lalu yang antara lain membawa maksud Ahli Parlimen Pagoh itu berbohong berkenaan isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Melalui siaran Facebook sehari selepas itu, plaintif menafikan kenyataan fitnah pertama defendan dan menjelaskan bahawa pelupusan hutang RM8.3 bilion tersebut telah dilaksanakan pada 2021 dan ia dibuktikan melalui Penyata Kewangan Felda Bagi Tahun Kewangan Berakhir 2021.

Tambah Muhyiddin pada 13 Julai lalu, Anwar sekali lagi memutar belit kenyatan fitnah pertama dan kedua dengan mendakwa beliau yang mengeluarkan peruntukan untuk meluluskan pelupusan hutang RM8.3 bilion yang mana kemudian disiarkan dalam halaman YouTube Astro Awani.

Sementara itu, Pada 21 Julai lalu, Anwar menghantar surat tuntutan kepada Muhyiddin menuntut bekas Perdana Menteri itu memohon maaf dan membayar ganti rugi kerana memfitnahnya berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Berdasarkan surat tersebut, Anwar mendakwa Muhyiddin memfitnahnya apabila mengeluarkan kenyataan media bahawa Presiden PKR itu tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap dakwaan Ahli Parlimen Pagoh itu dalam tempoh yang diberikan.

Selain permohonan maaf dan ganti rugi RM200 juta, Anwar turut menuntut Muhyiddin menarik balik surat tuntutannya dan kesemua kenyataan yang dikatakan fitnah serta membayar kos guaman Anwar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN