JERANTUT: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melakukan pelepasan misi penghantaran barang keperluan makanan kering ke Pangkalan hadapan Mukim Ulu Tembeling di Masjid Kampung Kuala Sat hari ini.
Seri Paduka bersolat Jumaat di Masjid Kampung Kuala Sat bersama rakyat yang turut disertai Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam ibni Al-Sultan Abdullah.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Mufti Pahang, Datuk Dr. Abdul Rahman Osman.
Selepas solat Jumaat, Seri Paduka berkenan menyampaikan sumbangan kepada 200 asnaf dari enam kampung tradisional dan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Kucing.
Baginda seterusnya menyampaikan bakul makanan bernilai RM814,000 kepada enam Pengerusi Jawatankuasa Pangkalan Mukim Hulu Tembeling di tebing Sungai Tembeling.
Kampung terlibat ialah Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Pagi, Kampung Gusai, Kampung Mat Darling dan Kampung Orang Asli Sungai Kucing.
Baginda turut melepaskan Misi Penghantaran keperluan Makanan Kering ke Pangkalan Hadapan di Mukim Tembeling.
Seri Paduka turut berkenan melakukan ziarah kasih lima buah rumah bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ketua Kampung Kuala Sat, Abdul Jabar Dollah 51, bersyukur dengan bantuan makanan kering untuk keperluan ketika musim banjir.
“Kami rakyat di Ulu Tembeling rasa disayangi dan dipedulikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan negeri diterajui Wan Rosdy,” katanya. – UTUSAN