Anwar beri bayangan Affandi ditawar sertai kabinet Kerajaan Perpaduan - Utusan Malaysia

Anwar beri bayangan Affandi ditawar sertai kabinet Kerajaan Perpaduan

ANWAR Ibrahim (tengah) disambut meriah orang ramai yang hadir pada Ceramah Mega Perpaduan Madani PRK Parlimen Kemaman, di Geliga, Kemaman, malam ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor akan ditawarkan menyertai kabinet Kerajaan Perpaduan sekiranya menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini.

Anwar berkata, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tersebut bukan seorang individu yang calang-calang dan beliau mempunyai rekod yang sangat cemerlang dalam tugasnya.

“Saya minta rakyat Kemaman beri sokongan kepada Raja Mohamed Affandi, Kemaman perlu pecah rekod dengan mengangkat seorang yang berjasa kepada negara.

“Insya-Allah, dengan kedudukan beliau, saya percaya kalau beliau jadi Ahli Parlimen tak akan jadi Ahli Parlimen yang biasa-biasa.

“Kita akan bagi ‘tugas’ (tanggungjawab) supaya huhungan dengan kerajaan baik. Kita pastikan kemenangan calon BN ini,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani PRK Parlimen Kemaman, di Geliga, di sini, malam ini.

Anwar berkata, Raja Mohamed Affandi akan menjadi jambatan antara Kemaman dengan Kerajaan Persekutuan yang pastinya akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) ini bukan calang-calang orang. Nak naik (dilantik PAT) itu beliau lalui pelbagai ujian. Beliau kena ada rekod yang sangat cemerlang.

“Sebelum diangkat, Menteri Pertahanan rujuk kepada Perdana Menteri, kemudian dipersembahkan kepada Yang DiPertuan Agong untuk diperkenankan.

“Rekod beliau baik dan tiada cacat cela. Sekurang-kurangnya orang Kemaman kenanglah jasa orang yang menjaga dan mempertahankan setiap inci bumi bertuah ini,” katanya.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan Raja Mohamed Affandi dicabar Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas dalam pertembungan satu lawan satu.

Mengenai wang ihsan Kelantan dan Terengganu, Anwar berkata, kerajaan menyalurkan peruntukan wang tersebut secara terus kepada rakyat menerusi agensi-agensi kerajaan

“Kita tak bagi kepada kerajaan negeri tetapi kita bagi kepada rakyat. Dia (kerajaan negeri) beritahu tanah runtuh di Tasik Kenyir, saya bagi kelulusan segera atasi masalah hakisan di Tasik Kenyir RM200 juta. Tak ada terima kasih pun.

“Kita tak ambil wang hak Terengganu, hak Kelantan, Sabah, Sarawak pun begitu juga. Tetapi kita salur ikut keadaan (wang ihsan). Kalau dia nampak sopan dan teratur, kita boleh runding dengan baik. Tapi kalau kita dikafirkan, kemudian dicanang tak jaga Melayu, kita buat cara kita dan saya tak akan tolak ansur kita guna cara untuk tolong rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya