Banjir mula melanda Terengganu - Utusan Malaysia

Banjir mula melanda Terengganu

KAWASAN di Taman Alamanda 3, Kuala Terengganu yang mula dinaiki air selepas hujan berlarutan malam tadi. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA TERENGGANU : Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Serbaguna Tok Jembal dekat Kuala Nerusi setelah beberapa rumah penduduk di sekitar kawasan itu mula terjejas banjir pada pukul 7 pagi tadi.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ketika ini kerja-kerja pemindahan penduduk di Taman Permai Murni masih sedang dilakukan dan jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas masih belum dapat dipastikan.

Menurutnya, hujan lebat juga menyebabkan beberapa kawasan penempatan penduduk di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dilanda banjir kilat awal pagi ini.

“Saya berharap mangsa di kawasan banjir akan mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke PPS yang disediakan.

“Difahamkan, hujan lebat masih berlaku di beberapa kawasan yang berisiko menyebabkan lebih banyak tempat dilanda banjir hari ini,” katanya ketika dihubungi pagi ini..

Antara kawasan yang terjejas banjir pada awal pagi tadi ialah Jalan Kamaruddin, Jalan Pusara, Batu Buruk, Taman Dahlia, Taman Alamanda 1, 2 dan 3, Kuala Ibai dan Losong di Kuala Terengganu serta beberapa kawasan rendah sekitar Gong Badak.

Sementara itu, penduduk yang mahu deknali Hidayah, 39, dari Taman Alamanda 3, memberitahu,  rumah penduduk di taman ini dimasuki air pada pukul 2.45 pagi menyebabkan mereka terpaksa mengalihkan kenderaan ke tempat yang lebih selamat.

Menurutnya, kebanyakan rumah di kawasan ini sering berlaku banjir selepas hujan lebat terutamanya pada musim tengkujuh ini.

“Pada tahun lepas, rumah saya dilanda banjir kilat sebanyak tiga kali menyebabkan kami sekeluarga penat mental dan fizikal kerana terpaksa mengemas keseluruhan rumah selepas banjir surut.

“Paling sekejap air naik dalam tujuh jam dan berlarutan hingga 10 jam setiap kali ia berlaku. Walaupun hanya dalam tempoh singkat, kesan lumpur yang dibawa sangat susah dihilangkan,” katanya yang membeli rumah itu pada tahun 2010.

Seorang lagi penduduk Taman Seri Intan, Nor Halina Mohamad, 35, pula berkata, masalah banjir mungkin berpunca dari parit dan longkang yang tidak diselenggara dengan sempurna sejak dahulu.

“Bagaimanapun, sejak awal tahun ini, saya lihat beberapa langkah proaktif telah diambil untuk membersihkan dan mengorek longkang yang tersumbat sebagai langkah awal mencegah banjir agar tidak lebih buruk pada musim tengkujuh akan datang.

“Malangnya, banjir tetap berlaku dan kami berharap masalah ini dapat diselesaikan secara tuntas bagi tempoh jangka masa panjang kerana tidak sanggup lagi berdepan masalah sama setiap tahun,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.