PETALING JAYA: Seramai 810 mangsa membabitkan 210 keluarga di Perak dan Selangor terpaksa dipindahkan ke 10 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka berikutan bencana banjir di dua negeri itu.
Menerusi portal bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Selangor merupakan negeri teramai mangsa banjir dengan 558 orang yang antaranya merangkumi 167 wanita dan 199 kanak-kanak termasuk lima orang kurang upaya (OKU).
Bangi, Semenyih dan Gombak merupakan antara lokasi banjir negeri ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor dalam kenyataan memaklumkan, satu PPS iaitu Dewan Seroja Kampung Bendahara, Gombak menempatkan lima mangsa daripada tiga keluarga masih dibuka setakat pukul 8 pagi ini.
“Di Hulu Selangor, seramai 15 mangsa terdiri daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Taman Desar Hulu Yam Bharu. Hulu Langat pula, seramai 96 mangsa terdiri daripada 23 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bangi dan Sekolah Kebangsaan Semenyih.
“Di Sepang, seramai 477 mangsa terdiri daripada 133 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dewan Orang Ramai Kampung Datuk Ahmad Razali, Dewan MPKK Kampung Jenderam Hilir dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil,” katanya dalam kenyataan.
Tambah kenyataan itu, hanya satu PPS dibuka di daerah Petaling yang menempatkan 10 mangsa terdiri daripada tiga keluarga di Dewan Serbaguna Camelia MBSJ, Putra Height.
Dalam pada itu Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan memaklumkan keperluan mangsa banjir di lokasi PPS yang menempatkan penduduk Bangi terjejas mencukupi setelah turun padang melihat sendiri situasi bencana alam itu.
Kata beliau, pihaknya telah mengagihkan pek makanan dari ke Kampung Bangi untuk mangsa banjir.
Sementara itu, Perak menyaksikan 252 mangsa banjir daripada 73 keluarga dari daerah Kerian dan Hilir Perak terpaksa dipindahkan ke empat PPS yang dibuka bagi menempatkan mereka. – UTUSAN