34 buah sekolah ditutup, 4,397 masih berada di PPS

34 buah sekolah ditutup, 4,397 dipindahkan ke PPS

Penduduk Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu menumpang jentolak berikutan jalan dinaiki air, semalam. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 34 buah sekolah di enam daerah di negeri ini terpaksa ditutup selepas dinaiki air dan sebahagiannya pula dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).

Bagaimanapun jumlah mangsa pemindahan ke PPS di negeri ini mencatatkan sedikit penurunan kepada 4,397 orang daripada 1,162 keluarga setakat pukul 4 petang semalam berbanding 4,787 orang daripada 1,260 keluarga pada sebelah pagi.

Timbalan Pengarah JPNT (Sektor Pengurusan Sekolah), Azman Othman @ Abdullah berkata, sembilan sekolah ditutup semalam kerana banjir manakala 25 sekolah lagi dijadikan PPS.

Menurutnya, empat sekolah yang ditutup kerana banjir di Kuala Terengganu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malik, SK Kampung Bukit Chendering dan SK Tok Dir.

“Di Kuala Nerus pula empat sekolah yang ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting, SK Padang Kemunting, SMK Kompleks Mengabang Telipot dan Sekolah Sukan Malaysia manakala di Setiu hanya satu sekolah ditutup kerana banjir iaitu SK Kampung Besut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JPNT mengesyorkan sekolah-sekolah yang terkesan dengan banjir agar mengambil cuti bencana, begitu juga dengan sekolah yang dijadikan PPS.

Sementara itu, terdapat 31 PPS di lima daerah iaitu 15 di Kuala Nerus, tujuh di Marang, lima di Kuala Terengganu, tiga di Besut dan satu di Dungun.

Menurut Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, satu-satunya PPS yang beroperasi di daerah Setiu telah ditutup dan semua mangsa telah dibenarkan pulang susulan cuaca yang semakin baik.

Menurutnya, daerah Kuala Nerus masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi ketika ini iaitu seramai 1,710 mangsa daripada 454 keluarga meningkat sedikit berbanding 1,695 mangsa daripada 445 keluarga pagi tadi.

“Di Kuala Terengganu pula, jumlah mangsa turut meningkat kepada 1,158 orang daripada 337 keluarga berbanding 1,137 orang daripada 332 keluarga sebelum ini,” katanya di sini hari ini.

Situasi berbeza di daerah Marang apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 845 orang dan di Besut pula, berlaku sedikit penurunan mangsa iaitu 661 orang daripada 153 keluarga.

“Jumlah mangsa di daerah Dungun kekal tidak berubah dengan hanya satu sahaja PPS beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Kah yang menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal
https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air pula menunjukkan stesen bacaan di parit utama Padang Kemunting daerah Kuala Nerus masih melepasi paras bahaya dengan bacaan setinggi 3.84 meter (paras bahaya 3.8 meter).

Selain itu, tiga sungai di dua daerah pula kini telah melepasi paras waspada iaitu Sungai Peneh di daerah Hulu Terengganu yang merekodkan bacaan setinggi 36.58 meter di Felda Mengkuang (paras waspada 35 meter).

Dua sungai yang melepasi paras waspada di daerah Setiu pula ialah stesen bacaan Sungai Nerus di Kampung Bukit setinggi 11.97 meter (paras waspada 10.5 meter) dan Sungai Setiu di stesen bacaan Kampung Besut setinggi 16.16 meter (paras waspada 16.0 meter). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN