HATYAI, THAILAND: Seramai tiga juta pelancong Malaysia direkodkan memasuki Thailand khususnya untuk berkunjung ke Hatyai bermula dari awal tahun ini sehingga bulan lalu.
Dalam tempoh sama, pelancong Thailand yang direkodkan memasuki Malaysia pula adalah kira-kira 700,000 orang.
Pakar ekonomi berpendapat, trend yang berterusan selama 10 bulan berturut-turut itu berisiko menyebabkan mata wang Malaysia semakin lemah.
Malah mereka mengandaikan jika seorang berbelanja RM1,000 untuk tinggal selama tiga atau lima hari, negara ‘kehilangan’ RM3 bilion.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Konsul Jeneral Malaysia di Songkla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, selepas pandemik Covid-19, Thailand menerima jumlah pelancong terbesar dalam kalangan rakyat Malaysia yang bercuti ke negara Gajah Putih itu.
“Memang dapat dilihat ada perbezaan dari segi angka jumlah pelancong Thailand yang memasuki Malaysia dan kerana itulah kita ingin mempromosikan destinasi pelancongan di negara kita.

“Malaysia mempunyai banyak destinasi pelancongan menarik yang boleh menjadi tarikan buat pelancong-pelancong dari Thailand,” katanya ketika ditemui semalam.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, Hatyai menjadi fenomena baharu apabila lokasi pelancongan utama itu sesak dengan pelancong khususnya dari Malaysia yang mengambil kesempatan cuti panjang sempena perayaan Deepavali dan hujung minggu untuk berkunjung ke sana.
Tinjauan di sekitar kawasan bandar Hatyai pada cuti Deepavali baru-baru ini mendapati, lokasi pelancongan, kedai makan dan hotel penuh dengan kehadiran rakyat Malaysia, malah, di jalan-jalan raya dipenuhi bas pelancong.
Dalam pada itu Ahmad Fahmi berkata, pada tahun depan, lebih sejuta pelancong Thailand dijangka mengunjungi Malaysia bagi melawat destinasi percutian menarik.
“Buat masa ini kehadiran pelancong Thailand ke Malaysia semakin memberangsangkan tambahan pula terdapat beberapa tarikan antaranya Tahun Melawat Perlis 2024/2025 tidak lama lagi,” katanya.
Katanya, pelancaran Festival Malaysia 2023 juga bukan sahaja dapat mempromosikan barangan tempatan malah turut memperkenal destinasi pelancongan menarik khususnya di Perlis.
Katanya, Perlis merupakan negeri yang bersempadan dengan Thailand malah ramai pelancong dari negara itu gemar menggunakan laluan darat untuk bercuti ke sana.
“Apa yang dapat dilihat, Perlis, Kedah dan Kelantan mempunyai potensi besar untuk menarik pelancong Thailand memandangkan pelancong di sini lebih gemar menggunakan laluan darat.
“Buat masa ini pelancong dari Thailand dilihat kurang selesa untuk berbahasa Inggeris dan mereka memerlukan khidmat penterjemah atau pemandu pelancong bagi memudahkan komunikasi.
“Jadi itu antara perkara yang saya nampak kebanyakan daripada pelancong Thailand bangkitkan kerana mereka lebih selesa jika ada penterjemah bahasa jika ke Malaysia,” katanya.
Sementara itu trend pelancong tempatan ke Thailand yang berterusan selama 10 bulan berturut-turut berisiko menyebabkan mata wang Malaysia semakin lemah.
Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, ia berikutan permintaan ke atas duit luar lebih tinggi susulan pengaliran wang ke luar negara itu.
Malah katanya, trend itu cuma meningkatkan ekonomi negara luar berbanding ekonomi tempatan.
“Aliran keluar wang ini menyebabkan mata wang menjadi semakin lemah sebab permintaan ke atas duit luar lebih besar. Tetapi, sama ada situasi itu membimbangkan atau tidak, bergantung kepada adakah ia berterusan.
“Misalnya jika tiga juta orang itu ke luar dan diandaikan seorang berbelanja RM1,000 untuk tinggal selama tiga atau lima hari, maka, kita kehilangan RM3 bilion,” katanya.
Katanya, kerajaan tidak boleh memaksa rakyatnya untuk melancong dalam negara semata-mata.
Katanya, apatah lagi rakyat Malaysia sejak beberapa tahun ini mempunyai keupayaan bercuti ke luar negara khususnya menunaikan umrah atau melawat negara-negara Asia Barat serta Thailand dan Indonesia.
“Jadi, kita perlu lakukan sesuatu untuk menarik rakyat Malaysia melancong dalam negara. Mungkin dalam negara seperti Langkawi dianggap tidak menarik berbanding Hatyai, maka perlu pelbagaikan lagi promosi.
“Tetapi, tidak boleh paksa orang tempatan melancong dalam negara jika tidak boleh dapat kepuasan sama seperti melancong di luar, jadi perlu jadikan produk pelancongan kita lebih baik,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA), Kapten Mahadzir Mansor pula berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pelancong tempatan lebih memilih untuk berkunjung ke Hatyai berikutan pengangkutan yang memuaskan.
Mengambil contoh Langkawi, beliau berkata, keperluan asas pengangkutan seperti feri kurang memuaskan berbanding kereta api terus ke Hatyai dengan harga yang menarik.
“Setelah lebih dari 37 tahun dalam sektor pelancongan, kenapa sesuatu negara mendapat lebih sambutan dari negara sendiri adalah disebabkan kepada pelbagai faktor, tetapi, bagi mengatasi masalah ini khusus di Langkawi adalah perlu meneliti promosi yang positif dan faktor harga,” katanya. – UTUSAN










