KUALA LUMPUR: Sebanyak 19 majikan daripada 32 pemborong di Pasar Borong Kuala Lumpur yang melanggar beberapa perkara di bawah akta yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), dikenal pasti membayar gaji pekerja secara tunai.
Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar berkata, hasil daripada Operasi Bersepadu bersama dengan JTKSM di pasar tersebut, alasan yang dikemukakan oleh majikan adalah mereka beranggapan kaedah pembayaran gaji secara tunai lebih memudahkan.
Katanya, mana-mana majikan perlu mematuhi perkara yang termaktub termaktub dalam Akta Kerja 1995, di mana pembayaran gaji pekerja wajib dibayar melalui akaun bank.
“Sebab utama, kerajaan mengenakan pembayaran gaji dengan melalui akaun bank adalah bertujuan mengelakkan isu manipulasi pekerja.
“Kalau bayar secara tunai, kita tidak mempunyai apa-apa rekod mengenai pekerja tersebut, mungkin mereka tidak mempunyai surat tawaran bekerja dan tidak mempunyai rekod pembayaran gaji,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas mengetuai operasi tersebut bersama-sama dengan agensi di bawah kementeriannya semalam.
Justeru itu, Sivakumar menjelaskan, jikalau majikan hendak membayar gaji secara tunai, maka perlu ada persetujuan dengan pekerja itu sendiri dan mendapat kelulusan daripada ketua pengarah JTKSM.
Sehubungan itu, katanya, agensi di bawah pihak kementeriannya akan membuka kaunter bagi membantu dan menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi oleh majikan serta pekerjanya sejurus tamatnya operasi tersebut.
Tambahnya, beliau juga akan berusaha untuk berbincang dengan pihak bank supaya dapat turut membantu pekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur, membuka akaun bagi membolehkan pembayaran gaji dilaksanakan secara transaksi bank.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan antara kesalahan lain yang dilakukan oleh 34 majikan tersebut terhadap pekerjanya ialah pelanggaran waktu kerja dan tidak membayar gaji mengikut Perintah Gaji Minimum sekurang-kurang RM1500 sebulan.
Selain itu, kata beliau hasil daripada operasi itu juga mendapati terdapat majikan tidak mencarum untuk pekerja bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Tambahnya, terdapat juga majikan yang tidak mengikut piawaian dalam pengendalian bahan kabait.
“Jika mereka (pekerja) tidak mendapat manfaat tersebut maka tindakan daripada undang-undang boleh diambil daripada majikan berkenaan,” tegasnya.
Selain itu, katanya sekiranya terdapat pekerja asing-asing yang didapati bekerja di pasar borong tersebut, majikan harus menyediakan tempat penginapan yang sesuai.
Kata beliau penyediaan kemudahan tersebut adalah selaras dengan perkara di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 [Akta 446].
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan jumlah statistik penguatkuasaan, bermula dari bulan Januari sehingga Oktober pada tahun ini, JTKSM telah mengeluarkan sebanyak 1,654 Kertas Siasatan merangkumi Akta Kerja 1955, Akta 446 dan juga Perintah Gaji Minimum 2022.
“Dari keseluruhan tersebut, sebanyak 357 kertas siasatan dikenakan denda dengan nilai RM391,236.00.
“Sebanyak 775 kertas siasatan dikenakan kompaun yang membawa kepada nilai berjumlah RM3,958,500.00,” kata beliau.
Jelas beliau, Kementerian Sumber Manusia (KSM0 akan menjalankan penguatkuasaan secara berterusan untuk memastikan kepatuhan daripada pihak majikan kepada pekerja mereka.
Tambahnya, penguatkuasaan tersebut adalh penting dan merupakan suatu keperluan bagi membebaskan negara dari isu Buruh Paksa yang masih lagi menjadi momokan pihak luar negara sekaligus dapat mencapai hasrat negara untuk ‘Zero’ Buruh Paksa pada tahun 2030. –UTUSAN