KUBANG PASU: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu dijangka menerima 15,000 sari pengembara termasuk pelancong dari negara ini untuk bercuti di Hatyai, Thailand asempena cuti perayaan Deepavali hujung minggu ini.
Unjuran itu berdasarkan keluar masuk pengembara hampir setahun lalu iaitu melonjak sehingga 15,000 orang pada hujung atau musim cuti umum manakala pada hari-hari biasa sekitar 9,000 hingga 10,000.
Selain ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah mempunyai sebuah lagi pintu sempdan iaitu di Kompleks ICQS Durian Burung di Padang Terap namun tidak terlalu menjadi tumpuan seperti di Bukit Kayu Hitam.
Kebanyakan mereka yang menaiki kenderaan sendiri atau menggunakan perkhidmatan awam seperti bas serta van akan berkunjung ke lokasi percutian di selatan Thailand terutama Hatyai.
Ketua Imigresen ICQS Bukit Kayu Hitam, Rosli Issak berkata, angka pengembara yang berulang alik melalui pintu sempadan itu akan meningkat pada setiap kali cuti umum atau cuti persekolahan.
“Pada hari-hari biasa, jumlah pengembara adalah sekitar 9,000 ke 10,000 orang setiap hari termasuk pemandu kenderaan berat yang keluar masuk setiap hari.
“Kita memang sudah menjangkakan setiap kali cuti umum akan berlaku peningkatan pengembara dan Imigresen Bukit Kayu Hitam khususnya sudah bersedia sepenuhnya termasuk membuka operasi semua kaunter yang ada,” katanya.
Sementara itu Rosli berkata, setiap pengembara hanya mengambil masa kira-kira 35 saat untuk menyelesaikan urusan dokumentasi di pihak Imigresen Malaysia.
Bagaimanapun katanya, terdapat sedikit penambahan masa kebelakangan ini kerana pihak Thailand menetapkan dokumen perjalanan rakyat Malaysia perlu dicop keluar.
“Kebiasaannya kita hanya mengimbas sahaja pasport atau pas sempadan melalui mesin khas namun Thailand meminta ianya dicop keluar, jika tidak pengembara tidak boleh meneruskan urusan masuk ke Thailand,” katanya.
Sementara itu, kadar tukaran ringgit yang boleh dikatakan rendah kepada mata wang Thailand bukan penghalang kepada rakyat Malaysia terus berpusu-pusu ke selatan negara tersebut.
Pada hari ini, tukaran kedua-dua mata wang itu menyaksikan RM1 bersamaan 7.62 baht berbanding tukaran pada tempoh sama sekitar 10 tahun lalu apabila rakyat Malaysia mampu memperolehi sehingga 9.84 baht bagi setiap RM1 yang dibawa mereka.
Seorang pelancong dari Malaysia, Mohd. Faizal Khamis, 34, berkata, mereka terpaksa ‘pejam mata’ dengan kadar tukaran tersebut yang disifatkan tidak memberangsangkan ketika ini untuk mengunjungi pekan Hatyai di Songkhla atau Pak Bara di Wilayah Satun
Katanya, ‘pelaburan’ untuk bercuti di kedua-dua kawasan yang terletak kira-kira satu jam dari sempadan Bukit Kayu Hitam atau Wang Kelian di Perlis itu berbaloi kerana mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi dan lebih murah berbanding jika hendak ke Langkawi
“Sebenarnya jika dibandingkan bercuti di Langkawi misalnya, kami masih dapat berjimat kerana berkunjung ke Thailand boleh guna kenderaan sendiri dengan kos tidak sampai RM100 termasuk insuran bagi setiap kereta yang dinaiki lima orang,” katanya. – UTUSAN









