JOHOR BAHRU : Tanpa mengikuti kelas bimbingan melukis dan tunjuk ajar daripada sesiapa, seorang murid tahun enam berjaya membuktikan bakat semula jadi ada dalam dirinya.
Nur Zarith Sofea Mohammad Azrul 12, mempunyai bakat semula jadi yang tidak ada pada rakan-rakan yang seusia dengannya.
Hanya dengan sebatang pensil Zarith Sofea mampu melukis watak kartun animasi seperti Faruzan, Mona, Kokomi, Nahida, Hu Tao, Ganyu, Silver Wolf, Wanderer dan Herta.
Bakat anak sulung daripada tiga beradik itu mula dikesan seawal usia empat tahun oleh ibunya Mazlina Mazalan.
Menurut ibunya, ketika usia empat tahun dia melihat Zarith Sofea mula memegang pensil dan membuat lakaran di atas kertas.
Daripada situ dia mula mengasah bakat anak sulungnya untuk terus melukis apa jua watak kartun terutama melukis gambar kucing pelbagai versi.
Zarith Sofea yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ibrahim turut menjadikan lukisan yang dilukisnya menjadi sumber pendapatan.
“Semuanya bermula apabila ada minggu keusahawanan di sekolah dan saya menjual lukisan sehingga mendapat sambutan macam pisang goreng panas,” katanya kepada Utusan.
Menurutnya dia yang bercita-cita menjadi pereka grafik dapat mengembangkan bakat melukisnya sehingga keperingkat lebih tinggi. Anak kepada pasangan Mazlina Mazalan dan Azrul Hussin ini pernah muncul johan pertandingan melukis poster dan memasuki ke peringkat negeri secara dalam talian pada 2021.
Sehingga kini dia mempunyai lebih 60 hasil lukisannya dan dua buah buku lukisan pelbagai watak.-UTUSAN











