Yuran universiti tak lebih RM1,500, pelajar susah dapat semangat baharu

Yuran universiti tak lebih RM1,500, pelajar susah dapat semangat baharu

Langkah kerajaan menetapkan yuran kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam tidak lebih RM1,500 memberi semangat baharu kepada pelajar susah menyambung pelajaran mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah kerajaan mengehadkan yuran pendaftaran masuk ke universiti awam tidak melebihi RM1500 bermula Januari 2024 memberi peluang luas kepada pelajar kurang berkemampuan untuk memulakan pengajian.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif kerajaan dalam membantu nasib pelajar kurang berkemampuan bagi meneruskan pengajian atau mengambil peperiksaan.

“Semoga dengan langkah ini, pelajar susah yang tidak berhasrat menyambung pengajian kerana ingin menyara keluarga dan mereka yang susah dari pedalaman akan mendapat semangat baharu,” katanya.

Beliau berkata, UPM tidak mempunyai masalah menyambut hasrat kerajaan untuk memperkasa kebajikan pelajar universiti kerana Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM turut melaksanakan pelbagai langkah bagi membantu menjaga kebajikan pelajar.

“UPM melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar turut memberi pelbagai bantuan kepada golongan pelajar susah, asnaf dan B40 yang layak melalui Tabung Kebajikan Pelajar Wakaf, Zakat dan Endowmen untuk meringankan beban mereka,” katanya.

Katanya, UPM turut aktif mengumpul dan menyalurkan sumbangan dan derma daripada pihak luar atau penaja kepada golongan B40 yang layak.

“UPM terlibat dengan bantuan Program Dermasiswa Sulong yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi untuk membiayai pendidikan generasi pertama dalam keluarga B40 yang melanjutkan pengajian ke universiti,” katanya.

Menyentuh berkenaan peruntukan RM1 juta kerajaan kepada setiap universiti awam dalam program Pemulihan Dalam Komuniti OKU, beliau berkata, langkah itu akan meningkatkan jumlah pelajar orang kurang upaya (OKU) masuk ke universiti.

Katanya, UPM juga sentiasa menaik taraf kemudahan OKU di fasiliti utama universiti, van OKU, mesin embosser di perpustakaan, bangunan mesra OKU dan bilik OKU. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN