BINTANGOR: Lelaki warga emas berusia 64 tahun maut dalam satu insiden kemalangan jalan raya selepas bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Sibu-Bintangor, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bintangor, Deputi Superintendan Polis Sekam Anoi berkata, kejadian berlaku selepas kenderaan pacuan empat roda itu memotong sebuah kenderaan dalam perjalanan dari arah Sibu menuju ke Bintangor.
“Kenderaan yang bergerak laju itu masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa dan mengakibatkan mangsa cedera parah serta meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala sebuah lagi kenderaan jenis Proton Persona yang turut berada di lokasi cuba mengelak daripada pelanggaran tersebut, lalu terbabas ke parit sebelah kanan,” ujarnya.
Tambahnya, pemandu kedua-dua kereta dan pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan terbabit selamat dan tidak mengalami kecederaan.
“Bagaimanapun, akibat daripada pelanggaran tersebut, penunggang motosikal warga emas berusia 64 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Keadaan jalan raya di situ lurus, berturap dan mempunyai garisan tengah putus-putus. Semasa kejadian, keadaan dan permukaan jalan juga kering dan cuaca dilaporkan baik.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -UTUSAN










