BALING: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak pagi semalam ditemukan lemas di Sungai Ketil yang terletak berhampiran rumahnya di Kampung Kuala Chenerai, Kuala Pegang, kira-kira pukul 12 tengahari ini.
Mangsa, Abd. Aziz Md. Lazim, 72, ditemukan pasukan bomba dalam operasi mencari dan menyelamat setelah polis menerima laporan daripada anak mangsa yang menyedari bapanya tiada di bilik tidur rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, ahli keluarga mangsa telah berusaha mencarinya di sekitar kampung termasuk tebing sungai terbabit yang berjarak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.
“Mangsa menghidap penyakit strok ringan dan mengalami masalah ingatan. Anggota polis yang ke rumah mangsa dimaklumkan oleh ahli keluarganya mengenai tapak kaki di tebing sungai di belakang rumah mereka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Mohd. Jamil Md. Daud berkata, operasi mencari dan menyelamat untuk menjejaki mangsa turut dibantu oleh Unit K9 Bomba yang dikhususkan untuk mengesan bau mangsa.
“Kira-kira pukul 12 tengahari, mangsa ditemukan di dalam sungai oleh anggota bomba dengan menggunakan teknik ‘body rafting’ pada jarak 100 meter dari tempat mangsa disyaki terjatuh,” katanya.
Dalam pada itu, isteri mangsa, Zainab Othman, 48, berkata, mereka cuba mencari di seluruh rumah serta sekeliling kediaman itu selain meminta bantuan jiran-jiran serta saudara mara, namun gagal ditemukan.
“Kasutnya dan barang-barangnya ada, pintu hadapan rumah memang sentiasa berkunci tetapi pintu dapur didapati terbuka. Sebelum ini kalau dia keluar ke kedai atau ke rumah jiran dia akan balik sendiri.
“Kehilangannya membuatkan kami risau sehinggalah mayatnya ditemui tadi, kami reda walaupun ditemukan dalam keadaan sudah tidak bernyawa,” katanya.
Anak mangsa, Siti Syawani, 27, pula berkata, bapanya ada meminta untuk memakai seluar panjang kerana tidak mahu lagi memakai kain pelikat yang menyebabkan dia susah bergerak.
“Saya telah beli seluar panjang seperti yang dikehendakinya, malangnya seluar itu sampai semalam tetapi ayah pula telah tiada,” katanya. –UTUSAN