PETALING JAYA: Lelaki warga asing yang ditangkap orang ramai ketika cuba menceroboh masuk sebuah kereta di tepi Jalan AU 3/7, Taman Keramat dekat sini semalam didapati tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan.
Difahamkan, suspek cuba masuk ke dalam sebuah kereta, namun, pemandu wanita bernasib baik kerana mengunci pintu kenderaannya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada pukul 8.40 malam.
“Anggota polis yang hadir ke lokasi membuat pemeriksaan pada tubuh badan suspek mendapati tiada barang salah.
“Semakan dokumen pengenalan diri mendapati suspek tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan juga mendapati pemilik kenderaan tersebut enggan mengambil tindakan lanjut atas dakwaan cubaan menceroboh keretanya.
Bagaimanapun, katanya, polis membuat tangkapan semula suspek yang berumur 35 tahun dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian air kencing adalah negatif.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.-UTUSAN